PETALING JAYA: Tidak semena-mena nama seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Adam Adli menjadi sebutan gara-gara tindakan beliau menurunkan bendera bergambar Najib di hadapan PWTC Ahad lalu.
Tindakan yang dilakukannya dalam demontrasi sekumpulan kira-kira 100 mahasiswa bagi mendesak Auku dimansuhkan itu akhirnya telah mengakibatkan tindakan balas keras oleh penyokong-penyokong Umno.
Selain hampir ditumbuk oleh seorang lelaki yang marah dengan tindakan itu, Ketua Wira Perkasa yang juga ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara Armand Azha Abu Hanifah, turut mengancam untuk menampar dan meludah ke muka Adam Adli sekiranya beliau berpeluang bertemu mahasiswa terbabit.
Bagaimanapun, tindakan menurunkan bendera Najib tidaklah dapat menandingi perbuatan biadab tiga penyokong BN yang kencing pada gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam satu kempen pilihan raya kecil tidak berapa lama dahulu.
Apatah lagi, ketika menurunkan bendera itu Adam dikatakan melakukannya dengan tertib serta hormat dan hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja sebelum dinaikan semula.
Umumnya, selain dianggap sebagai ahli politik dalam PAS, Nik Aziz dan Hadi juga dianggap sebagai golongan ulama.