KUALA LUMPUR, 27 Mac — Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul
Hamid telah mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Melayu
(Malaysia) Berhad dengan menyaman sejumlah RM20 juta kerana memburukkan
reputasi dan nama baik beliau kepada umum.
Dalam satu kenyataan media hari ini, peguam pemohon Samarudin Md
Rejab berkata kes tersebut telah difailkan semalam dan menamakan Datuk
Abdul Aziz Bin Ishak dan Raja Shahrir Abu Bakar sebagai pihak defendan.
“Dalam artikel Utusan Online bertarikh 13 Mac, 2013, secara palsu dan
berniat jahat, telah menyiarkan satu artikel dalam talian menuduh anak
guam kami sebagai 'telah memperleceh' Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengendalikan insiden pencerobohan
pengganas dari Sulu,” kata Samarudin dalam satu kenyataan.
Menurut Samaruddin lagi, artikel tersebut juga menuduh Abdul Ghafir
telah mengatakan PDRM dan ATM menangani pengganas dari Sulu itu
sehinggakan kini hanya “duduk di bawah rumah orang dan di reban ayam”.
Disamping itu, Samarudin berkata tuduhan tersebut sengaja direka
memandangkan Abdul Ghafir adalah bekas Timbalan Panglima Tentera Darat
Malaysia dan bertujuan untuk mewujudkan kebencian kepada PKR dan Pakatan
Rakyat.
“Dakwaan di atas adalah benar-benar palsu, berniat jahat dan fitnah kepada Datuk Ghafir.“Dalam hal ini, kita semua sedar bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 bakal
menjelang dan Datuk Ghafir adalah salah satu daripada bekas pegawai
tertinggi yang menyokong Parti Keadilan Rakyat serta Pakatan Rakyat,”
tambah Samaruddin lagi.
Dalam tuntutan yang dihantar semalam, Abdul Ghafir telah meminta
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Abdul Aziz Bin Ishak dan Raja
Shahrir Abu Bakar memohon maaf serta menarik menarik balik artikel
tersebut dan berjanji tidak akan mengeluarkan sebarang artikel yang sama
bertujuan memburukkan nama beliau.
Berita tentang kenyataan oleh Abdul Ghafir telah dilaporkan oleh
Utusan ketika berucap dalam Forum anjuran Akademi Pak Sako bertajuk
Solidariti Lahad Datu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di
Jalan Maharajalela di sini.
Turut menjadi panel pada forum itu ialah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk
Seri Wilfred Bumburing dan Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar.TMI