Penjelasan Dr Dzulkefly Ahmad yang dipetik dari laman BLOGNYA :
Wacana “Mengapa Undi Melayu Pecah” anjuran Sinar Harian (SH) dari
Kumpulan Karangkraf berlangsung pada 28 hb Februari lalu. Rata-ratanya
ia ditanggapi sebagai hangat, tegang tetapi lancar dan terkawal. Mereka
yang gagal untuk hadir dalam dewan menonton melalui internet
@SinarOnline dan @Mobtv.my. Liputannya dibuat dalam dua keluaran SH dan
secara verbatim esok mengikut maklumat pihak pengurusan SH.
Dalam hampir 3 jam perbahasan bersekali dengan sidang akhbarnya yang
menghuraikan pelbagai isu di sekitar tajuk wacana, amat malang sekali,
ada pihak yang memanipulasi laporan wacana ini dengan sengaja
mengenengah dan kini ‘memporakperandakan’ minda rakyat yang tampaknya
bermotifkan politik.
Paling mutakhir seorang mantan PM juga tumpang semangkuk sekaligus
dengan lebih jelas membuktikan bagaimana pihak media yang andainya
tidak cermat atau juga punyai agenda tertentu akan terpalit untuk
memenangkan sesuatu tumpuan umum dalam memobilisasi pandangan awam
(public opinion). Lebih malang lagi bila saya kesani ada segelintir
kecil pihak PAS sendiri yang terpengaroh meminta saya tarik balik
kenyataan saya. Kenyataan apa, kalau boleh saya tanya.
Nyata bahawa Wacana ‘Mengapa Undi Melayu Pecah’ yang saya kira sihat
dan informatif, kini telah diheret pihak tertentu secara sengaja atau
tidak bagi menonjolkan isu ‘PAS bersedia di pimpin bukan-Islam’. Bukan
tajuk wacana samasekali, tetapi itulah nasib panelis, yang mesti menjadi
peringatan yang bakal bersetuju menjadi panelis. Satu perkara atau
isu, yang awalnya ditanggapi isu sampingan atau ‘side-dish’ menjadi
habuan utama atau ‘main meal’ bagi lawan politik atau pihak tertentu.
Saya diingatkan supaya tulis penjelasan ini ringkas tetapi jelas.
Biar orang kampong semua boleh faham. Saya cuba insyaAllah. Untuk
tujuann tersebut saya mendengar rakaman verbatim dalam @Mobtv.my
beberapa kali dan telah pun meminta pegawai saya menyalinnya. Justeru
yang tidak hadir dan tidak dengar perbahasan 3 jam itu tetapi mahu
membuat kenyataan rasmi seperti Tun termasuk ramai dalam media sosial
lain, tolong beri perhatian yang serius.