KUALA LUMPUR 9 Ogos: Malaysia akan jadi bahan lawak antarabangsa jika
keluarga mendiang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dihalang
memasuki negara ini, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.
“Jika
ia dilakukan, bermakna Malaysia kena bersedia untuk dijadikan bahan
lawak antarabangsa. Harap-harap perkara ini tak berlaku,” kata Gwo
Burne, merujuk khabar angin mengatakan bapa Altantuya, Setev Shaaribuu
dan seluruh keluarganya akan dihalang dari memasuki Malaysia.
Keluarga Altantuya dijadual tiba ke Malaysia untuk mengikuti
pendengaran semula rayuan dua bekas pegawai khas Najib Razak yang
dijatuhi hukuman mati akibat membunuh Altantuya, iaitu Azilah Hadri dan
Sirul Azhar Umar pada 27 dan 28 Ogos ini.
“Itu hak keluarga mereka. Sebagai kerajaan yang terbuka, Malaysia
mesti membenarkan mereka mengikuti perbicaraan,” tegas Gwo Burne ketika
dihubungi.
Menurut Gwo Burne, beliau difahamkan oleh Pejabat Konsul Mongolia di
Malaysia, pemakluman secara rasmi kehadiran Kementerian Hal Ehwal Luar
Negeri & Perdagangan dan Kementerian Keadilan Mongolia belum lagi
dibuat.
“Tidak ada lagi maklumat tentang kehadiran dua Kementerian Mongolia
itu ke Malaysia,” kata Gwo Burne yang sebelum ini mendesak Kementerian
Luar Malaysia, menyantuni ketibaan delegasi pemerhati negara itu secara
rasmi.
“Pegawai kerajaan Mongolia yang guna laluan diplomatik tidak perlu
permohonan visa berbanding bapa Altantuya dan keluarganya. Mereka perlu
memohon visa. Visa dikeluarkan pejabat konsul atau kedutaan mengambil
masa lebih seminggu.