Dewan itu melantik 20 ahli jawatankuasa (AJK) barunya sebagai tambahan kepada anggota yang telah dipilih di dalam Muktamar ke-52 dewan itu di Shah Alam baru-baru ini.
Majoriti yang dilantik untuk bersama kabinet baru itu adalah dari kalangan profesional dalam bidang masing-masing.
Mereka termasuklah dua orang bekas calon timbalan ketua yang tewas, Suhaizan Kaiat dan Firdaus Jaafar dan bekas calon Naib Ketua, Nasir Zakaria.
Ketiga-tiga mereka dilantik sebagai exco dewan itu.
Keputusan itu dibuat pada perbincangan hampir empat jam mesyuarat pertama kabinet baru dewan itu, pada 5 Jun lalu di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia, bangunan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.
Untuk Jawatankuasa Dewan Harian Pemuda PAS pula, Khairul Faizi Ahmad Kamil kekal sebagai setiausaha dewan itu manakala jawatan bendahari diisi oleh Ir Hj Muhd Khairil Nizam Khairudin.
Ketua penerangan dewan itu pula diamanahkan kepada Ustaz Riduan bin Mohamad Nor manakala pengarah pilihan raya disandang Mohd Sany Hamzan.
Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika diminta mengulas parlantikan AJK baru itu berpendapat dewan itu kini mempunyai kabinet berimbang setelah banyak pihak melihat keputusan pemilihan dewan itu dimenangi majoriti oleh kelompok ulama.
"Struktur organisasi DPP Malaysia sebagaimana biasa disusun dan dilengkapkan secara seimbang dan sepadu berasaskan kepelbagaian tahap upaya dan latar belakang disiplin penguasaan ilmu.
"Saya mengharapkan kabinet ini mampu menghadapi cabaran baru dalam iklim politik masa kini sekaligus menunaikan amanah anggota Dewan Pemuda PAS dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi," ulasnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Katanya, biarpun sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun beliau yakin kabinet baru itu mampu menggalas tanggungjawab untuk memimpin kebangkitan anak muda dan mendepani Pilihanraya Umum (PRU) ke 13.
Dalam pada itu beliau juga menyatakan kesediaan untuk ditegur bukan sahaja oleh pimpinan parti malah semua pihak termasuk dari luar PAS.
"Dalam masa terdekat, insyaallah DPP Malaysia akan mengadakan retreat untuk memantapkan roadmap pemuda, mengatur strategi terkini dan menyesuai potfolio serta memperkasakan organisasi DPP Malaysia.
"Sungguhpun keputusan ini mungkin tidak mampu memuaskan hati semua pihak, saya mengharapkan ia adalah skuad yang boleh membantu parti dengan lebih baik dan insyaallah, lebih dari hari semalam," tegasnya.
Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatan Kuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat: