Sahabat Ambo

Pengunjung Yang Di Hargai,Untuk Membantu Mohon "KLIK" Iklan Di Atas.Terima Kasih

Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas

Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud


LAGI VIDEO TINTA HIJAU-DKB KLIK DI SINI

Translate

Ahad, 22 November 2009

Husam: Saya tak akan tinggalkan PAS di tengah jalan


PETALING JAYA, Nov 22 — Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa turut menafikan yang beliau telah meletakkan jawatan dalam kerajaan dan PAS, sambil menyifatkan agenda menamatkan kerjaya politiknya oleh pihak luar “belum berakhir”.

Justeru, Husam menegaskan, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan PAS di pertengahan jalan dan “sebagai murid dan ‘budak’ Tok Guru tidak akan mengangkat bendera putih” semata-mata kerana agenda Utusan.

Penafian serupa juga dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi tadi.

Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Kelmarin, Husam memberitahu The Malaysian Insider bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dari kerajaan negeri.

“Mingguan Malaysia sekali lagi ‘memandang tinggi’ pada saya dengan berita provokatif muka depan.

“Beratus SMS, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan telefon sejak awal pagi adalah bukti ‘berita’ yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit,” kata Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan dalam blognya hari ini.

Husam juga menambah, beliau lega dengan penjelasan Nik Aziz yang menafikan laporan media hari ini.

“Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya — Tok Guru Nik Aziz,” ujar Husam.

Dalam tulisannya, Husam juga menjelaskan bahawa beliau kini mengalami sakit belakang dan doktor menasihatkannya agar kurangkan aktiviti.

“Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti.

“Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.

“Saya maklumkan pada bos saya (Nik Aziz). Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain,” katanya.

Husam mengakui telah mengadakan pertemuan Nik Aziz pada Khamis lalu, yang meminta agar beliau tidak menangguhkan rawatan.

“Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis. Apa kena-mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?

“Letak semua pulak tu?” soal beliau.

Bagi memperkukuhkan hujahnya, Husam yang tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS pada Jun lalu menjelaskan: “Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama?”

“Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?” tambah Husam dalam tulisannya.TMI


Banjir Di Kelantan Dan Terengganu Semakin Buruk


GAMBAR HIASAN


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk petang ini, di mana di Terengganu kesemua daerah di negeri itu dinaiki air kecuali di Kuala Terengganu.

Sementara jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu telah dinaiki air sedalam 0.5 meter dan ditutup kepada kenderaan ringan petang ini.

Jumlah jalan di negeri itu yang ditutup kepada kenderaan berat dan ringan kini meningkat kepada 28 iaitu Hulu Terengganu (10), Marang (lapan), Setiu (lima), Besut (tiga) serta Dungun (dua).

Sementara itu, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 4,627 orang di Terengganu berbanding 2,309 pada pagi tadi, manakala 1,644 mangsa di Kelantan berbanding 793 orang pada sebelah pagi.

Manakala keadaan di Pahang dan Perak tidak banyak perbezaan berbanding pagi tadi di mana di Pahang hanya 22 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir, dan di Perak pula mangsa di pusat pemindahan kekal kepada 824 orang.

Di KUALA TERENGGANU, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata peningkatan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan pada petang ini meningkat dengan mendadak berbanding pagi tadi berikutan beberapa kawasan di kesemua daerah di negeri itu telah dinaiki air kecuali di Kuala Terengganu.

Di Hulu Terengganu seramai 1,313 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan pada petang ini berbanding 595 pada pagi tadi.

Begitu juga di Kemaman sebanyak 1,122 mangsa berbanding 711 pagi tadi, Setiu 478 (330), Dungun 560 (138), Besut 894 (516) dan Marang 251 (19)," katanya.

Jurucakap itu berkata sebanyak 85 pusat pemindahan setakat ini dibuka di seluruh negeri iaitu Hulu Terengganu (25), Marang (enam), Dungun (sembilan), Setiu (11), Besut (17) dan Kemaman (17).

Bacaan paras air Sungai Berang di Hulu Terengganu, Sungai Marang dan Sungai Dungun, masing masing telah meningkat ke paras bahaya pada petang ini.

Di Sungai Berang, paras air di Pengkalan Ajal mencatatkan 17.20 meter (bahaya 16 meter), Sungai Marang di Pengkalan Berangan (14.09 meter dan bahaya 13.70 meter), Sungai Dungun di Kuala Jengai, (20.47 meter dan bahaya 19.80 meter) dan Kemaman di Batu Putih mencatat bacaan 4.30 meter (bahaya 3.20 meter).

Jurucakap itu berkata paras air di Sungai Setiu dan Sungai Nerus juga masih berada di peringkat bahaya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Di KELANTAN jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata mangsa banjir yang terlibat adalah 724 penduduk di jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (635), Tanah Merah (264), Pasir Puteh (36) dan Machang (empat orang).

Katanya jalan utama Persekutuan yang menghubungkan Kelantan ke Terengganu, Kota Baharu ke Gua Musang dan Gerik ke Jeli masih boleh dilalui kenderaan ringan, manakala jalan utama yang hanya boleh dilalui kenderaan berat adalah Jalan Kota Baharu ke Kuala Krai di Kampung Sungai Durian, Batu Lapan dan Jalan Rantau Panjang ke Panglima Bayu.

"Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang dilaporkan semakin meningkat naik melepasi paras bahaya iaitu di Jenob 24.66 meter (bahaya 23.50 meter) dan Rantau Panjang 10.44 meter (bahaya 9 meter)," katanya.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tangga Krai di Kuala Krai serta Tualang, Gua Musang juga kini melepasi paras bahaya iaitu di Kusial 17.85 meter (bahaya 16 meter), Tangga Krai 26.12 meter (bahaya 25 meter) dan Tualang 35.40 meter (bahaya 35 meter).

Penduduk Kota Baharu juga diingatkan supaya berwaspada berikutan bacaan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja kini mencecah 4.80 meter (bahaya lima meter).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehigga kini dan keadaan di Kelantan masih mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan.

Di KUANTAN, sehingga 5 petang ini 22 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir negeri itu selepas rumah mereka di Kampung Sungai Ular dinaiki air, kata jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang.

"Pemindahan itu hanya melibatkan Kuantan, tiada pemindahan dilaporkan berlaku di daerahdaerah lain setakat ini," katanya.

Di IPOH,jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kerian berkata mangsa banjir masih ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir di daerah itu iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, Sekolah Kebangsaan Matang Buluh dan SJKT Simpang Lima.

"Kampung-kampung yang masih dilanda banjir adalah Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima. Ia dinaiki air lebih satu meter akibat limpahan empangan Kolah Bukit Merah dan Sungai Beriah kerana hujan berterusan sejak 10 hari lepas," kata beliau. BERNAMA

Bedah Siasat Beng Hock Selesai




Bedah siasat kali kedua yang dijalankan ke atas mayat mantan Setiusaha Politik Exco Kerajaan, Teoh Beng di Hospital Sungai Buluh yang bermula jam 1 petang tadi selesai dua jam kemudian.

Bagaimanapun tiada sebarang keputusan dikeluarkan berhubung bedah siasat berkenaan.

Adik mendiang, Teoh Lee Lan berkata, pihaknya juga tidak mendapat apa-apa maklumat berhubung keputusan bedah siasat pada kali ini dan hanya menunggu sehingga inkues pada 9 disember ini.

“Bila laporan dijangka keluar kita pun tidak tahu, boleh tunggu dalam inkues pada 9 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas bedah siasat tamat jam 3.15 petang tadi.

Lee Lan mewakili keluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar patologi dari Thailand yang dilantik kerajaan negeri, Dr Ponrtip Rojanasunan kerana bertindak sebagai pemerhati dalam bedah siasat kali ini.

“Kita sangat berterima kasih kepada Dr Porntip kerana datang bantu menyelia bedah siasat dan kita akan sabar menunggu keputusan laporan yang akan dikeluarkan,”katanya.

Menurutnya mendiang Beng Hock akan ditanam semula 24 November ini di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Sementara itu peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo dan Dr Porntip terlebih dahulu meninggalkan hospital berkenaan tanpa bertemu media.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai lalu selepas disoalsiasat selama 10 jam tanpa henti oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pihak berkuasa mendakwa mangsa telah membunuh diri, namun pakar patologi antarabangsa dari Kementerian Keadilan Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menemui kesan cekik pada leher dan retakan pada tengkorak mendiang yang konsisten dengan kesan pukulan.

Lebih menyayat hati apabila mangsa yang bakal menjadi ayah kepada seorang anak ini ditemui mempunyai kesan cedera pada dubur, dipercayai ditusuk dengan suatu objek. TVS

Tok Guru Nik Aziz Nafi Husam Mahu Letak Jawatan







KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan Exco kanan Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Beliau menyifatkan tindakan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan itu hari ini sebagai usaha untuk memecahbelahkan PAS dan melariskan jualan akhbar berkenaan.

"Saya baru baca sebuah akhbar rasa terlalu amat terkejut dengan siaran tajuk Husam letak jawatan, walaupun ada tanda soal," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Laporan itu memetik beberapa sumber sebagai berkata hasrat Husam itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sekali gus memberikan Husan cuti lima hari bermula hari ini untuk berehat dan menenangkan fikirannya.

Nik Aziz berkata laporan akhbar berkenaan sama sekali tidak benar dengan memetik sumber termasuk daripada blog tertentu yang kononnya mempunyai maklumat Husam akan melepaskan jawatan berikutan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata jika benar sekali pun Husam mahu meletakkan jawatan, beliau sama sekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Beliau berkata kerajaan negeri sangat memerlukan khidmat dan buah fikiran Husam kerana sepanjang perkhidmatannya, Husam banyak membuat rundingan dengan kerajaan Pusat termasuk mengenai tanah dengan Felda, Felcra dan terbaru tuntutan royalti petroleum.

"Mengapa orang kita tidak tahu menilai orang yang berguna (seperti Husam)," katanya.

Ketika ditanya sama ada benar Husam pernah menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan baik dalam parti mahu pun kerajaan, Nik Abdul Aziz berkata: "Tak ada... sayapun tak terfikir dia nak berhenti. (Ini pandai-pandai akhbar) nak bawa berita panas supaya orang beli akhbar".

Nik Abdul Aziz berkata Husam sememangnya ada menemuinya di pejabat dua hari lepas dan hanya memaklumkan bahawa beliau dinasihati oleh doktor agar mendapat rawatan di hospital kerana mengalami masalah sakit tulang belakang.

"Masalah nak berundur tak berundur, langsung tidak timbul baik dalam kepala dia atau saya," katanya.

Beliau berkata tindakan akhbar menyiarkan laporan itu sebenarnya mengguriskan hati orang yang dalam keadaan sakit. BERNAMA

Penyelewengan & Rasuah; Monsoon Cup Tidak Pernah Di Audit !





(Gambar - kerajaan Terengganu menafikan Monsoon Cup membazir setelah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Integriti, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh (gambar kecil ) berkata, aduan diterima menyatakan keuntungan penganjuran sukan Monsoon Cupitu hanya diraih oleh individu tertentu sedangkan pada keseluruhannya ia dikatakan tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan)

- Ahmad Said Akan Sambung Perjanjian Penganjuran Selepas Tamat 2012 ?

KUALA TERENGGANU – Bagaimana mungkin perlaksanaan projek-projek kerajaan negeri Terengganu boleh menepati slogan ‘Merakyatkan Pembangunan’ sedangkan pelbagai pendedahan menunjukkan penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah ?

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata penganjuran sukan perahu layar piala monsun (Monsoon Cup) bukan sahaja membazir dan tidak membawa manfaat yang banyak kepada rakyat, ia juga tidak pernah diaudit.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, perkara tersebut mendapat teguran dari Ketua Audit Negara.

”Di negeri Terengganu ini, dia buat projek bukannya ikut peraturan dan prosedur, banyak projek yang dilakukan (dilaksanakan) tidak diaudit,

”termasuk Monsoon Cup, dilaporkan dalam laporan (ketua) audit Negara, perbelanjaan untuk Monsoon Cup tidak diaudit, tidak dikemukakan untuk diaudit,”katanya ketika beucap dalam majlis ceramah bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, di Jalan Kelantan, disini kelmarin.

Menurutnya, berapa banyakkah perbelanjaan yang digunakan untuk menganjurkan piala Monsun tersebut dan ke atas apakah perbelanjaan tersebut dibuat, tidak dilaporkan.

Sehubungan itu, Haji Wahid turut mendedahkan kecenderungan kerajaan negeri Terengganu menyambung perjanjian penganjuran Monsoon Cup yang dijangka tamat pada 2012.

”Ahmad Said (Menteri Besar) berkata demikian dalam satu kenyataan yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris,”katanya yang juga wakil rakyat bagi DUN Wakaf Mempelam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat ‘Pre-Council’ wakil-wakil PAS untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di pejabat Perhubungan PAS, Kuala Terengganu, semalam, 21 November.

Katanya, majoriti rakyat Terengganu menolak penganjuran perlumbaan perahu layar itu kerana ia dianggap membazir.

”Berjuta-juta ringgit hasil royalti minyak dibelanjakan sedang manfaatnya kepada rakyat tempatan tidak dikecapi,

”ia mesti dihentikan selepas tamat perjnajian pada 2012,”tegas Haji Wahid.

Akhbar tersebut memetik Ahmad Said berkata, sekiranya piala monsun memberi keuntungan kepada rakyat dan negeri, beliau pasti mempertimbangkan untuk meneruskannya.

Perjanjian antara kerajaan negara dengan pemilik siri perlumbaan terbabit ‘World Match Racing Tour’ (WMRT) ditandatangani kali pertama pada tahun 2005.

Oleh itu, nasib Piala Monsoon selepas tahun 2012 adalah tidak pasti dengan spekulasi bahawa acara akan dihentikan selepas perjanjian berakhir.

”Namun, dengan pertemuan Ahmad dengan penasihat Piala Monsoon, Datuk Peter Gilmour pada hari Sabtu, (14 November) ada tanda-tanda bahawa acara ini akan kekal di Terengganu,”lapor akhbar itu lagi. BO

PM UMno Lulus Judi, Ustaz Umno Sunyi Sepi !





Anwar menandatangani plak perasmian pejabat baru PKR Cabang Kuala Nerus

KUALA NERUS
– Dalam masa tidak sampai setahun Perdana Menteri baru, Dato’ Seri Najib Razak mengambil alih pemerintahan, sebanyak 3 lesen judi baru telah dikeluarkan
Jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr. Awang Adek yang berkata, pendapatan dari aktiviti perjudian digunakan untuk kebajikan rakyat, telah ditolak dan ditentang oleh wakil-wakil bukan Melayu dan bukan Islam.


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian, mendedahkan perbahasan di parlimen baru-baru ini, ketika berucap dalam ceramah sempena perasmian pejabat PKR Cabang Kuala Nerus, di Taman Desa Solehah, Jalan Kelantan disini, kelmarin.


”Dunia betul-betul sudah terbalik sekarang, orang Melayu Islam Umno luluskan judi, wakil-wakil bukan Melayu, bukan Islam menentang,”ujarnya.

Beliau turut mencabar, dimanakah golongan Ustaz-ustaz dalam Umno yang tidak berkata apa-apa atas tindakan kerajaan, meluluskan lessen-lesen judi baru itu, dan meningkatkan aktiviti ‘haram’ tersebut.

Sebelum itu, pada sebelah petang, Anwar hadir dan menutup Majlis Konvensyen PKR peringkat negeri Terengganu di Seberang Marang.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah, Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution, Pengerusi PKR Negeri, Hj Abdul Rahman Yusof dan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, Ustaz Abu Bakar Abdullah.BO

Jadikan Negeri Dikuasai PR Model Pentadbiran Mapan



Sistem politik dwi-parti akan hanya punyai kredibiliti jika Pakatan Rakyat berjaya menjadikan negeri-negeri yang ditadbirnya sebagai pemangkin urus tadbir yang cemerlang, dan pembela golongan miskin.Sehubungan itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa gagasan itu supaya bertungkus-lumus memastikan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menjadi contoh model pentadbiran mapan untuk diteladani Barisan Nasional."Kerajaan negeri perlu menunjukkan teladan melalui dasar-dasar yang dirumuskan. Dasar yang memberi penekanan kepada urustadbir yang baik, kepedulian kepada yang lemah, dan memelihara sumber alam dan bumi," kata Anwar.Mantan Timbalan Perdana Menteri ini berkata demikian dalam ucaptama di simposium 'Pakatan Rakyat dan Pembikinan Sistem Dua Parti' di Kuala Lumpur hari ini. Anwar Ibrahim menegaskan keputusan PRU-12 lalu menunjukkan rakyat mahu sistem kerajaan dipulihkan, dan bukannya salinan pendua kerajaan Umno-BN."Kini sudah ada ruang untuk Pakatan Rakyat melalui kerajaan-kerajan negeri dibawah pentadbiranya untuk mengetengahkan agenda reformasi, dan memastikan kesilapan lalu dibawah pentadbiran leaps tidak berulang lagi," kata Anwar.Simposium anjuran Institut Kajian Dasar ini membincangkan persoalan sistem dwi-parti yang menjadi buah-bicara masyarakat hari ini. Membincangkan kewajaran sistem dwi-parti di laksanakan di Malaysia, wacana ini turut disertai oleh pakar Perlembagaan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah dan Exco Kelantan Husam Musa.Membicarakan soal sistem dwi-parti, Anwar berkata idea ini bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Bahkan, sistem dwi-parti yang kita kenal hari ini adalah olahan dari konsep kerajaan berteraskan parti pemerintah dan parti pembangkang.Dalam ucapannya beliau menambah, pembentukan sistem dwi-parti gagal dizahirkan kerana dihalang oleh institusi kerajaan yang parah dalam rasuah, dan perilaku pemerintah yang sewenang-wenang mencabul sistem demokrasi negara."Idea sistem dua parti ini hangat perkatakan sejak tahun lepas. Bahkan sambutan yang diterima idea dwi-parti ini begitu besar seraya mencadangkan kewujudan gagasan parti kedua mampu memulihkan demokrasi negara," kata Anwar.Namun rakyat terus berharap, sehubungan itu Anwar menyeru Pakatan Rakyat untuk tidak menghampakan aspirasi rakyat dan komited kepada piawaian urustadbir kerajaan yang tinggi."Di negeri-negeri Pakatan Rakyat, kita perlu tunjukkan keadilan, dan dasar keterbukaan yang menghormati hak asasi rakyat seluruhnya dan hak individu setiap warganegara," kata Anwar.Anwar dalam ucapannya menambah keutamaan hari ini bukanlah untuk memaksakan pembentukan sistem dwi-parti keatas rakyat Malaysia, sebaliknya penekanan harus diberi kepada menjamin kebajikan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat dalam iklim pengurusan ekonomi cermat dan berhemah.Anwar menyorot perhatian hadirin kepada siri-siri pencabulan tidak bertanggungjawab oleh sekumpulan elit manusia yang mahu kekal sebagai kuasa politik dominan di Malaysia.Pemimpin reformasi ini mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat mahu menjayakan sistem dwi-parti ini, terutama sekali apabila berhadapan dengan jentera gergasi kerajaan Pusat.TVS

Lembaran baru pergelutan politik: Saiful vs Altantuya? Lingam!

Oleh: Lim Hong Siang

Suasana politik tidak kembali tenang sejak dilanda tsunami pada 8 Mac 2008. Presiden UMNO ketika itu yang diasak dari dalam dan luar, semakin hilang kawal. Sebaliknya, Pakatan Rakyat dilambung pada kemuncak keghairahannya untuk menuju ke Putrajaya.

Bulan Jun 2008 menyaksikan pertembungan langsung antara dua orang "bakal Perdana Menteri". TPM Najib Razak bersama isterinya dikaitkan sekali lagi dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, oleh Raja Petra Kamaruddin (kiri, gambar kiri). Blogger yang berpengaruh ini membuat akuan sumpah pada 18 Jun, menuduh Rosmah Mansor, isteri TPM berada di tempat kejadian pembunuhan Altantuya.

10 hari kemudian, seluruh Malaysia digemparkan sekali lagi, apabila "kes liwat Anwar Ibrahim II" ditayangkan. Kali ini, pembantunya Mohd. Saiful Bukhari tampil membuat tuduhan, disusuli kemudiannya dengan angkat sumpah di masjid, sebagai cubaannya untuk memperkukuhkan tuduhan tersebut, terutamanya di kalangan masyarakat muslim.

Anwar vs Najib 1:0

Cubaan meludah ke arah Anwar Ibrahim kali ini berakhir dengan pengaiban pada dirinya. Survey Merdeka Center yang diumumkan pada awal Julai memperlihatkan hanya 10% responden mempercayai bahawa Anwar melakukan liwat. Seterusnya, survey yang diumumkan pada awal Ogos 2008, menunjukkan bahawa sokongan terhadap Najib Razak hanya berada pada paras 34%, satu tamparan sengit terhadap bakal PM UMNO-BN ketika itu.

Malah, reputasi UMNO-BN jatuh merudum dalam PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos, hampir terkubur dalam undi majoriti Anwar Ibrahim yang tertimbun. UMNO-BN yang menayangkan "Kes Liwat II" ini nyata lebih tertekan pada waktu itu, walaupun menguasai segala jentera negara.

Meskipun begitu, "Kes liwat II" tidak melabuh tirai begitu sahaja. Isu ini masih diungkit, secara tersurat mahupun tersirat dalam PRK yang berlangsung selepas PRK Permatang Pauh. Malah, Saiful Bukhari cuba memastikan "ketidakadilan yang menimpa dirinya" tidak hilang dari ingatan khalayak, mengingatkan orang ramai melalui blognya bahawa "Justice delayed Is Justice denied".

Kes liwat Anwar II diungkit lagi

Senario politik berubah dari masa ke masa, khususnya selepas Anwar Ibrahim gagal menyempurnakan rancangan 16 September. PR mula hilang fokus, perbalahan dalaman mula timbul, dan lebih ketara, jurang antara hasil kerja PR dan harapan rakyat kian melebar.

Sementara UMNO-BN yang diterajui Najib Razak, semakin kembali ke landasannya, apatah lagi setelah teruja dengan kemenangan PRK Bagan Pinang. Melainkan beberapa parti komponen BN yang masih bergelut dalam kemelut, BN kini dilihat berada dalam keadaan terbaiknya selepas tsunami 8 Mac 2008.

Senario sedemikian memberi nafas baru kepada UMNO-BN, bukan sahaja memantapkan dirinya, tetapi bersiap sedia untuk meneruskan "serangan yang belum selesai" itu. Maka dalam konteks inilah, mula wujudnya pertikaian "mengapa Anwar cuba melengah-lengahkan perbicaraan".

Awang Selamat, dalam kolumnya di Mingguan Malaysia pada 6 September 2009, mengusik Anwar dengan mengubahsuai laungan slogannya "lawan tetap lawan" kepada "tangguh tetap tangguh". Pada hari keesokannya, Utusan Malaysia menonjolkan isu liwat ini di muka surat depannya, dengan memetik hujah Chandra Muzaffar, "Kenapa mahu yangguh perbicaraan kalau tidak salah -- Anwar tidak perlu takut".

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz, malah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin dipetik untuk mengulas pandangan yang diketengahkan oleh Awang Selamat. Tidak cukup dengan itu, isu liwat ini berlanjutan untuk hari-hari seterusnya, apabila mereka yang keluar parti dari PKR seperti Lokman Nor Adam, Roslan Kassim, S.Nallakaruppan beratur di atas lidah parti untuk mencabar dan menyelar Anwar.

Lebih-lebih lagi, ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang keluar dari PKR pada 29 Oktober 2009, menyebut "soal moral" Anwar antara sebabnya meninggalkan PKR. Bekas Ketua AMK, Mohd Ezam Mohd Nor tidak melepaskan kesempatan ini untuk mendesak agar Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri kepada Anwar Ibrahim untuk menjawab persoalan moral suaminya.

Bala pula muncul kembali

Serangan bertubi-tubi ini semestinya disedari PR, yang juga tidak akan berpeluk tubuh begitu sahaja. Maka, secara "kebetulannya", mereka yang "hilang" kerana kes Altantuya mula timbul semula untuk menggilap ingatan ramai. Raja Petra Kamaruddin misalnya, melalui Malaysia Today mendakwa bahawa kebenaran di sebalik kes pembunuhan Altantuya akan terbongkar sebelum hari Krismas tahun ini.

Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang "hilang" selepas akuan sumpahnya yang mengaitkan Najib Razak dengan Altantuya, dan kemudian ditarik balik keesokannya, kini muncul dalam klip video yang tersiar di Malaysia Today. Apa yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan diri dan keluarganya itu terdedah sedikit demi sedikit mulai 13 November.

PKR pula, melalui lidah partinya mendakwa bahawa gambar yang boleh menunjukkan hubungan antara Najib dengan Altantuya kini disorok oleh polis. Suara Keadilan Bil 206 (10-17 November 2009), memetik dari Free Malaysia Today yang menemuramah wartawan penyiasatan Perancis Arnaud Dubus, berkata gambar "yang tidak dibuat salinan" itu telah diberikan kepada Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, dan diserah kepada polis kemudiannya.

Kenyataan tersebut sememangnya tidak perlu disokong dengan bukti. Ia bertujuan untuk mencalit imej Najib Razak yang pernah "bersumpah" bahawa dirinya tidak mengenali Altantuya. Apa pun kemungkinan di sebaliknya, yang sudah pasti, Saiful dan "Altantuya" kini telah masuk semula ke gelanggang politik.

Lingam jawapannya

Ramai akan bersetuju bahawa yang dibicarakan itu bukan Anwar atau Najib, tetapi sistem kehakiman negara Malaysia. Biarpun mahkamah memutuskan sama ada Anwar bersalah atau Najib tidak terlibat, dalam kes yang menyebut nama masing-masing, gagal mengubah persepsi awam.

Buktinya, Anwar telah dijatuhkan hukuman 10 tahun yang lalu, diulangi tuduhan yang sama sepanjang satu dekad ini, gagal menghalang sokongan rakyat terhadapnya. Sebaliknya, walaupun media arus perdana terus mendakwa tuduhan terhadap Najib bersama isterinya dalam isu Altantuya adalah fitnah semata-mata, gagal membersihkan nama PM dalam pandangan umum.

Inilah masalah persepsi yang menghantui Najib. Walaupun populariti Najib menampakkan lonjakan kebelakangan ini, bahkan tindakan undang-undang terhadap Anwar mungkin boleh mencelarukan langkah PR sendiri, tetapi jikalau inilah kesudahannya, maka ia hanya akan memperkukuhkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara kita terus diperkudakan.

Dengan kata lain, walaupun kuasa berada dalam tangan Najib, tetapi beliau sebenarnya tersepit di dalam dilema ini. Dalam kes liwat mahupun Altantuya, sebarang keputusan mahkamah yang bercanggah dengan persepsi rakyat, walaupun mungkin benar, tidak akan diterima.

Perlu dinyatakan bahawa persepsi ini bukan sekadar persepsi, tetapi berasas, kerana kerajaan tidak memperlihatkan tekad untuk memperbetulkan sistem kehakiman. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz boleh mempertahankan Lingam dengan seribu satu alasan dalam Dewan Rakyat, tetapi rakyat telah memberi jawapan dengan mengundi Loh Gwo Burne sebagai wakil rakyat Kelana Jaya.

Akhir kata, Najib Razak yang jelas lebih tangkas dan tegas dalam langkah politiknya, berbanding Abdullah Ahmad Badawi, boleh mengambil jalan singkat atau langkah "drastik" untuk menamatkan igauan yang menghantuinya selama ini, iaitu Anwar dan Altantuya. Anak Abdul Razak yang mewarisi corak pemerintahan Mahathir Mohamad ini, dipercayai akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan kuasa dirinya.

Cuma, sekeras Mahathir pun gagal mengubah persepsi rakyat dalam kes liwat Anwar. Apatah lagi, Najib kini berdepan dengan masyarakat Malaysia yang telah melalui zaman "Reformasi" dan "tsunami politik".

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Hudud : Kenyataan Najib VS Kenyataan Tok Guru Nik Aziz

Bermula 31/7/2009

Pengunjung Ambo dari....