Keputusan PAS-Pakatan Rakyat meletakkan calon wakil rakyat wanita pertama parti itu di Johor untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mencetuskan spekulasi pelbagai pihak.
Perkara yang digusarkan termasuk kewibawaan wanita untuk dipertanggungjawabkan membawa masalah rakyat ke sidang DUN Johor selain timbang semak dasar yang dibahaskan oleh kerajaan negeri itu.
Umno-Barisan Nasional (BN) pada awalnya turut membidas PAS dengan mempertikai pendirian parti itu meletakkan calon wanita, namun kepimpinan PAS melihat ianya bukan halangan dengan menambah bilangan kepimpinan wanita yang ada mewakili parti itu.
Namun di sebalik kebimbangan yang berlegar di kalangan pemimpin dan masyarakat tentang kebolehan wanita, PAS menyatakan pendirian bahawa pilihan terbaik untuk calon wakil rakyat di daerah itu adalah seorang wanita.
Berpegang kepada peribahasa 'Tangan yang menghayun buaian boleh menggegar dunia' PAS akhirnya memilih Normala Sudirman Anak kelahiran Muar, Johor itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Kemelah dan kemudian mengikuti kursus perguruan di Maktab Tuanku Bainun.
Memegang jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat Johor dan Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.
Anak perempuan kepada Sudirman Suratman, bekas Ketua Peserta FELCRA dan bekas Pengerusi Koperasi FELCRA Sekijang dalam menifestonya ingin membawa suara rakyat tertindas khususnya peneroka-peneroka Felda di tiga tanah rancangan di daerah itu ke meja Dewan Undangan Negeri Johor.