PETALING JAYA: Ahli Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang disebut-sebut sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April ini belum membuat keputusan untuk menerima tawaran atau tidak jika dicalonkan.
Beliau menegaskan perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan jika namanya dicalonkan.
"Tengok dulu, saya fikir dulu," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.
Menurut Zaid, beliau tidak tahu mengenai namanya disenarai pendek oleh PKR untuk dicalonkan bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.
"Tidak, saya tidak dicalonkan. Malah saya tidak tahu mengenai perkara ini," katanya.
Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilihat pemerhati politik sebagai calon yang paling sesuai untuk mewakili kawasan tersebut kerana pemilihannya dilihat akan menyelesaikan 'banyak masalah' dalam PKR.