Sahabat Ambo
Dedikasi Buat Tuan Guru Presiden Pas
Penghinaan Mahathir Terhadap Hudud
Translate
Jumaat, 1 Januari 2010
Video:Tok Guru Ulas Isu Saman RM800 Juta
Tok Guru Nik Aziz mengulas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Kerajaan Negeri Kelantan supaya membayar ganti rugi sebanyak RM800 juta kepada Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar perjanjian antara kedua pihak, kes yang berlarutan sejak 45 tahun lalu. Tok Guru mengulas isu berkenaan semasa menyampaikan Kuliah Jumaat beliau di Dataran Ilmu Kota Bharu pada 1 Januari 2009 / 15 Muharam 1431H.
SUMBER
Angkasawan pertama bertunang
Majlis pertunangan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, bermula pada pukul 4 petang itu berlangsung sederhana tetapi meriah dengan dihadiri kira-kira 100 tetamu jemputan terdiri daripada anggota keluarga, sanak saudara, rakan-rakan rapat dan wakil media.
Dr Sheikh Muszaphar, 37, segak berpakaian baju Melayu kelabu dan bersamping merah muda dan bersongkok dengan diiringi bapanya Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan ibunya Datin Zuraidah Sheikh Ahmad.
Sementara Dr Halina, 29, yang tampak manis berpakaian baju kurung moden merah muda diiringi bapanya Mohd Yunos Mohd Ali dan ibunya Habibah Endan.
Dr Halina adalah anak jati Negeri Sembilan yang kini bertugas sebagai doktor bius di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.
Dr Halina menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan membalas dengan lima dulang hantaran.
Zuraidah kemudian menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Dr Halina sebelum Habibah pula menyarungkan cincin ke jari manis Dr Sheikh Muszaphar.
Pasangan itu memilih tarikh 10 Okt 2010 untuk majlis perkahwinan mereka sempena ulang tahun ketiga detik Dr Sheikh Muszaphar ke angkasa lepas menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Okt 2007.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Dr Sheikh Muszaphar yang telah mengenali Dr Halina sejak lapan tahun lepas berkata: “Saya sangat gembira impian untuk merealitikan hubungan yang sekian lama terjalin kepada ikatan rasmi”.
Ditanya jumlah wang hantaran yang akan diberikan kepada bakal isterinya, beliau berkata: “biarlah rahsia” dan menurutnya tempat majlis perkahwinan belum ditentukan tetapi yang pasti akan diadakan di Kuala Lumpur.
Dr Halina pula mengakui tidak keberatan berkongsi perhatian bakal suaminya itu dengan rakyat Malaysia. “Kalau sudah ada jodoh tak ke mana,” katanya. — Bernama
Asri mula ‘kempen’ PRU-13, gesa undi parti mesra hak bersuara
PETALING JAYA, Jan 1 — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang kini cuba “dipikat” parti-parti politik menggesa agar para pengundi memilih parti yang sanggup memberi "ruang dan hak bersuara yang adil" untuk mereka pada pilihan raya umum ke-13 kelak.
Sungguhpun tarikh pilihan raya umum itu masih belum dapat dibayangkan oleh mana-mana pihak, Asri (gambar) berkata para pengundi seharusnya sudah mula memikirkan perkara tersebut mulai sekarang.
Asri berkata beliau mahu pertimbangan dan penilaian dimulakan sekarang oleh pengundi agar mereka tidak "panik apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti."
"Jangan tunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 baru hendak fikir... sebab itu saya minta mereka mula membuat penilaian dari sekarang," katanya.
"Pilih parti dan calon yang bersikap terbuka, yang boleh memberikan hak bersuara yang adil... kita tengok parti mana yang menggunakan cengkaman, tidak memberi ruang dan hak untuk mereka bersura dan ia perlu ditolak," katanya.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Asri berkata beliau memberikan pandangan itu tanpa merujuk kepada mana-mana parti politik.
Asri yang kini berhadapan dengan tuduhan mahkamah bahawa menyampaikan kuliah tanpa tauliah sedang dipujuk oleh kedua-dua Umno dan PAS sejak kebelakangan ini.
Kedua-dua parti itu dilaporkan sudah mendampingi beliau sejak beberapa bulan yang lalu.
Pada 9 Nov lalu, Asri berkata beliau sedia menyertai politik sebagai jalan terakhir jika usahanya untuk menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan dengan halangan.
Menurutnya, beliau memang tidak bercadang menyertai politik dan lebih menumpu kepada usaha menyebarkan pemikiran Islam yang dianggap luas kerana Islam adalah agama untuk semua.
Beliau ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor 1 Nov.
Apabila ditanya sama ada ia petanda beliau sudah mula memutuskan muktamad untuk menyertai parti politik, Asri menolak tanggapan sedemikian.
Dalam tulisan blognya dua hari lalu Asri menyeru para pencinta perubahan, penyokong keluasan minda dan usaha-usaha tajdid terutama generasi muda, agar mula menilai parti politik yang lebih meraikan "keluasan pendapat dan memberi ruang serta hak bersuara kepada rakyat secara adil."
"Nilailah juga parti mana yang tidak mesra dengan perkara ini.
"Dengan arus yang ada ini, pastikan undi anda pada pilihan raya ke-13 membantu ke arah semangat perubahan dan keluasan pendapat yang kita harapkan," kata Asri.
Tulisan itu menambah beliau bersyukur kerana sebahagian besar rakyat Malaysia, terutama generasi muda yang memberikan sokongan yang tidak putus-putus kepada usaha-usaha tajdid.
"Namun, saya agak kecewa kerana ada saluran media yang tidak bersikap positif dengan usaha tajdid yang sedang berlaku. Mungkin ada gangguan pihak tertentu.
"Pihak TV3 telah menjemput saya juga Tuan (Muhammad) Uthman Muhammady dalam rancangan al-Kulliyyah secara langsung.
"Malang sekali apabila tiba waktu siaran, dimaklumkan kononnya tidak mendapat ‘lampu hijau’ untuk disiarkan secara langsung.
"Janji mereka rakaman tersebut akan disiarkan, namun tidak muncul sehingga kini. Alhamdulillah, nasib baik ada pihak yang merakamkan program dan ia telah disiarkan dalam Internet serta mendapat sambutan," katanya.
Asri menambah pihak RTM1 pada 28 Dis lalu telah menyiarkan siaran langsung Uthman Muhammady dan seorang penceramah yang tidak dikenali membuat tafsiran yang salah terhadap perbezaan pendapat dan usaha pembaharuan.
"Sepatutnya, mereka hendaklah terbuka pada zaman ini dengan menjemput secara adil kedua-dua pihak memberi pendapat. Masyarakat kini sudah bijak untuk menilai.
"Alhamdulillah, walaupun RTM1 membuat demikian, kajian yang mereka buat dalam rancangan tersebut tetap menunjuk majoriti penonton menganggap positif perkembangan pemikiran atau yang mereka istilah sebagai pertembungan," katanya.
Malah dalam tulisannya Asri juga berterima kasih kepada kerajaan Kelantan memberikan pentas terbuka yang dihadiri ribuan orang di Kota Baru baru-baru ini.
"Ia memberi ruang untuk saya yang tidak berparti berforum secara terbuka dengan Datuk Nik Amar (PAS), Datuk Nakhaei (Umno) dan Ustaz Afandi (Pemuda Umno). Rakyat dapat melihat dan menilai," katanya.
Wacana Perdana Islam di Malaysia — Realiti dan Harapan itu membariskan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Asri, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) Datuk Mohd Nakhaei Ahmad dan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Malaysia Afandi Yusof.TMI
Pelaksanaan Dasar bersama PR tahun ini: Anwar
SHAH ALAM - Tahun 2009 menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) berjaya melahirkan satu dokumen penting yang dikenali sebagai Agenda Bersama PR dan kini tibalah masa untuk melaksanakan agenda perubahan terperinci, cermat dan menyegarkan, kata Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Agenda Bersama PR adalah penzahiran kepada permuafakatan yang bukan bersifat autoritarian, di mana ianya adalah permuafakatan berasaskan kepercayaan dan benar-benar jujur untuk membawa perubahan.
“PR telah menyediakan suatu rencana dasar untuk membawa bangsa dan negara keluar dari kemelut yang mencengkam. Kita akui sebagai satu permuafakatan yang muda, dalam proses pembentukan kepada permuafakatan yang lebih utuh, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai pertanyaan.
“Mereka sedar untuk mengembalikan negara ini ke persada negara-negara yang sudah jauh meninggalkan kita seperti Singapura, Taiwan, dan Korea Selatan agenda pembangunan yang selama ini berasaskan perkauman sempit dan hanya membawa keuntungan kepada segelintir yang dekat dengan pemerintah mestilah diketepikan,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2010.
Menurutnya, PR menawarkan agenda seimbang, bukan hanya tertumpu memulihkan kembali ekonomi negara, akan tetapi juga berusaha mengembalikan hala tuju negara ini sebagai negara berasaskan demokrasi raja berperlembagaan.
“Pakatan Rakyat yakin untuk mengemudi negara ini ke taraf negara maju dengan memastikan pertumbuhan ekonomi sihat, agenda pembangunan yang adil untuk semua, institusi kehakiman yang bebas dari cengkaman pemerintah dan pembinaan sebuah masyarakat demokratik yang berteraskan kemuliaan insan.
“Dengan kepercayaan rakyat yang kita peroleh, kita akan gembleng seluruh tenaga dan keringat untuk memastikannya terlaksana. Keyakinan terhadap semangat rakyat, akan menjadi satu lagi sumber kekuatan kita, rakyat Malaysia.
“Semoga tahun 2010 lebih baik buat semua dan negara ini,” katanya.SH
Mohamed Rahmat meninggal dunia
KUALA LUMPUR, Jan 1 — Pemimpin veteran Umno dan bekas menteri persekutuan Tan Sri Mohamed Rahmat meninggal dunia awal pagi tadi.
Sepanjang pembabitan beliau dalam politik beliau lebih mesra dikenali sebagai "Tok Mat".
Beliau merupakan bekas setiausaha agung Umno, jawatan disandang sejak Umno baru ditubuhkan. Jawatan itu disandang sehingga 1996.
Mohamed (gambar) menyertai Umno pada 1963 dan terpilih menjadi sebagai Ahli Parlimen selama 30 tahun sehingga 1999.
Kementerian popular diketuai beliau ialah Kementerian Penerangan dimana Mohamed memperkenalkan program Semarak di bawah pentadbiran era Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam kerajaan beliau menjadi Menteri Penerangan dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 dan kemudian dari 1987 hingga 1996. Allahyarham dilantik sebagai Duta berstatus menteri ke Indonesia pada 1982.
Mohamed dilantik semula sebagai Menteri Penerangan dari tahun 1987-1999 kerana kesetiaan beliau terhadap Dr Mahathir
Pada 10 Jun 2008, Mohamed pernah dimasukkan ke Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur kerana sakit dada.
Beliau telah menulis buku “Umno: Akhir Sebuah Impian” yang memaparkan manipulasi politik yang dilakukan pemimpin Umno terdahulu dalam mengekalkan kekuasaan. Ia dilancarkan tahun lalu.
Dalam pada itu jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.
Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir di rumah beliau di 42 Jalan Setiajaya, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.TMIGanti rugi 800 juta:Kerajaan Kelantan kemuka rayuan
KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan mereka membayar ganti rugi kira-kira RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar perjanjian.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, kes yang diputuskan tersebut adalah warisan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membatalkan perjanjian pada tahun 1975.
Menurutnya, rayuan itu akan dikemukakan pihaknya melalui Peguam Kanan Persekutuan dalam jangka masa yang terdekat dan yakin ia dapat diselesaikan dengan kaedah baik.
"Syarikat ini telah menerima konsensi dari Kerajaan Negeri sejak 25 julai 1964 perjanjian dimeterai di antara Kerajaan Kelantan di bawah Pas dengan Timbermine sebagai salah satu cara untuk membangunkan kawasan Hulu Kelantan.
“Namun semasa kerajaan BN memerintah Kelantan, pada 18 Mac 1975 mereka telah membatalkan perjanjian ini dan syarikat terbabit telah menyaman Kerajaan Negeri.
“Tetapi selepas itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tengku Ahmad Rithaudeen dan rundingan yang diadakan pada 12 Jun 1975 diselesaikan dengan baik dan Kerajaan Negeri bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta,” katanya pada sidang akhbar di Kota Darulnaim di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan mahkamah kelmarin yang mengarahkan Kerajaan Negeri membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM800 juta kepada Timbermine kerana melanggar perjanjian di antara kedua belah pihak sejak 45 tahun lalu.
Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas II Negeri berkata, perjanjian tersebut melibatkan kawasan pembalakan seluas 204,095 hektar untuk tempoh 33 tahun dan dikurangkan kepada 112,000 hektar selepas rundingan pada tahun 1975 itu.
“Mereka berurusan dengan Kerajaan Negeri di bawah BN pada tahun 1982 sehingga 1989 kemudian 1990 kerajaan bertukar tangan dan syarikat sekali lagi telah menghantar tuntutan mereka.
“Akhirnya mereka memfailkan saman di mahkamah pada tahun 2004 dan semalam (kelmarin) mahkamah memutuskan mereka menang dan kerajaan bersetuju untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan,” katanya. SH
2010-Tahun untuk menyerang Umno-BN bukan PAS
Oleh Herman Samsudeen
Sinar 2010 sewajarnya dimanfaatkan oleh rakan-rakan semua khususnya jentera dan pengerak PAS diseluruh dunia.Sedikit harapan dari saya. Semoga tahun 2010 dijadikan medan untuk menyerang Umno, membongkar segala kedurjanaan yang mereka lakukan dan berdakwah kepada saki baki ahli Umno yang mahu bersama Islam.
Diharapkan tahun 2010 tidak dijadikan medan untuk ahli dan rakan-rakan blogger menyerang kepimpinan hingga memberikan ruang luas kepada musuh menyerang dan memasuki kota kepercayaan kita.
PAS tidak pernah menutup pintu teguran dari ahli dan juga para penyokong. Tapi diharapkan semua teguran itu dibuat secara beradab dan melalui saluran yang betul.
Kita tidak boleh berpuashati dengan apa yang ada, maka kita tetap berharap agar ahli dan penyokong memberikan ransangan dan teguran yang membina bukan mencipta persepsi yang akhirnya merugikan parti.
Membongkar kelemahan parti adalah sesuatu yang dituntut dalam membina kekuatan dalaman. Tetapi kalau pembongkaran itu dibuat dihadapan musuh, itu bermakna bunuh diri.
Sesama pimpinan juga harus bijak memainkan peranan politik mereka dan tidak menjadikan media dan kenyataan-kenyataan terbuka untuk memerangkap pimpinan lainnya.
Acap kali ahli menjadi bingung bila melihat kepimpinan saling berbeza pandangan dan membuat kenyataan-kenyataan yang memberikan beban kepada kepimpinan lain menyelesaikannya.
Kebijakkan politik menuntut PAS mempamerkan budaya kerja politik yang lebih profesional yang bukan sekadar mengulas tetapi menganalisis serta menyelesaikan permasalahan yang ada.
Seterusnya, PAS harus memperkukuhan sumbangan dalam Pakatan rakyat dan menjadi pemimpin kepada kebangkitan rakyat dalam membenamkan Barisan Nasional.
Jadikan tempat-tempat yang sudah dimenangi PAS sebagai kubu-kubu kuat dan pastikan asakkan berterusan dikubu-kubu BN diteruskan tanpa henti.
Akhirnya, kita harus memahami matlamat dan dasar parti sebenar-benarnya agar ia menjadi panduan kekal untuk kita terus mara ke hadapan. Kenali musuh kita yang sebenarnya. Serang dan kerjakan mereka dengan penuh keimanan bukan kerana nafsu atau dendam kesumat.
Kerana akhir tujuan dan matlamat kita adalah keredhaan Allah, bukannya keredhaan manusia. Detikdaily
XPDC Dakwah Malam Tahun Baru Pemuda Pas Besut
Dewan Pemuda Pas Kawasan Besut telah mengadakan XPDC DAKWAH serentak di seluruhBesut pada malam ini iaitu 31 Disember 2009, Khamis.Program yang bermula jam 10.00mlm mensasarkan dua tempat yang menjadi tumpuan orang ramai terutama muda mudi,iaitu di Hadapan Pasaraya Econjaya(rujuk gambar di atas) & Pantai Kuala Besut untuk bertemu dengan muda mudi yang akan menyambut tahun baru dan mengedarkan risalah dakwah kepada mereka.
Majlis Penutup Kem Ibadah Cuti Sekolah Pondok Abbassiyah Bukit Puteri
Program yang berlangsung selama sebulan ini sampai ke kemuncaknya apabila Majlis Penutup berlangsung hari ini(31/12/2009).Berbagai acara diadakan(rujuk gambar) bagi memeriahkan Majlis Penutup yang bermula jam 2.30 petang dan berakhir jam 5.00 petang.Terima kasih kepada pihak Pentadbir Pondok terutama Mudirnya Ust Abd Aziz Abas yang sudi menyuntik ilmu agama kepada anak anak.Anok ambo pun ado duo ore he..he..Dan seperti yang dijanjikan oleh pihak Pondok,program ini akan menjadi program tahunan pondok ini.Sudah semestinya tahun hadapan program ini akan bertambah pesertanya.