PUTRAJAYA, 7 Jan — Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk tidak mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin parti itu 24 Disember lalu, yang dihadiri atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Sebagai langkah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memutuskan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai pertemuan sempena majlis santapan di Istana Terengganu di sini.
“Kami kena menghormati persefahaman pertemuan dan Yang di-Pertuan mahukan ia satu majlis peribadi,” kata Najib pada sidang media di sini hari ini.
Najib berkata beliau bersama pemimpin-pemimpin PAS menghadiri majlis makan malam demi menghormati undangan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebab itu kami hadir. Itu sahaja. Tiada komen lagi,” kata Najib yang diminta mengulas mengenai laporn The Malaysian Insider awal minggu ini.
Dalam kenyataan terbaru semalam, Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.
“Tak ada dah, tutup ‘book’ (buku) dah,” kata beliau di Kota Baru.
Pada 4 Januari lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu bulan lalu tiada kaitan dengan isu politik.
Nik Aziz berkata, berkata pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya ketika beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini bulan lepas.