Shahrir: Juga cabar Anwar saman mereka
JOHOR BAHARU: Anggota perwakilan Umno Johor Baharu yang menghadiri persidangan perwakilan bahagian hari ini mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya turut menyaman mereka selepas secara serentak melaungkan "Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa".
Laungan sebulat suara itu dilakukan 398 anggota perwakilan Umno Bahagian Johor Baharu dari 84 cawangan yang bersidang ketika Ketua Umno bahagian, Datuk Shahrir Abdul Samad menyampaikan ucapan perasmian.
"Mari kita bangun melaungkan 'Anwar Ibrahim Pengkhianat Bangsa', supaya Anwar boleh turut sama mengambil tindakan undangundang menyaman kita semua, Umno Johor Baharu sanggup menghadapi tindakan saman itu," katanya di sini hari ini.
Serentak dengan itu, semua 398 perwakilan Umno Johor Baharu bangun dan bersama-sama melaungkan ayat 'Anwar Ibrahim Pengkhianat Bangsa'.
Shahrir berkata, Umno Johor Baharu bersama-sama dengan Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyuarakan pandangan yang terbuku dalam hati semua anggota Umno Johor Baharu selama ini.
Baru-baru ini, Muhyiddin dalam ucapannya semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sri Gading di Batu Pahat menyifatkan Anwar sebagai pengkhianat perjuangan orang Melayu.
Berikutan kenyataan itu, Anwar menerusi peguamnya dilaporkan menghantar surat tuntutan meminta Muhyiddin memohon maaf atau berdepan saman sebanyak RM100 juta.
Shahrir berkata, laungan dan desakan itu, adalah suara hati Umno Johor Baharu dan mereka tidak gentar menghadapi Anwar yang kini, sudah terpesong daripada semangat perjuangan orang Melayu.
"Kita tunjukkan pada pembangkang bahawa ahli Umno sanggup menghadapi mereka (pemimpin pembangkang) yang dilihat sewenang-wenang melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada pemimpin parti dan ahli parti," kata Shahrir.
Di BATU PAHAT, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Anwar harus melupakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliau tidak mampu menggalas tanggungjawab berat itu.
Katanya, kegagalan Anwar sudah terbukti apabila beliau tidak mampu menangani dengan berkesan kemelut di beberapa negeri yang dikuasai pakatan parti pembangkang selepas pilihan raya umum lalu.
"Jika pentadbiran di Kedah dengan pelbagai masalahnya, di Pulau Pinang pula masalah penduduk gagal diselesaikan dan di Selangor pakatan gagal mencapai kata sepakat berkaitan isu arak.
"Jadi macam mana hendak menjadi pemerintah sebuah negara, jika hanya beberapa negeri yang mereka tadbir tidak boleh diuruskan dengan baik," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong, hari ini.
Shafie berkata, Anwar juga mengalami masalah moral dan suka membuat janji kosong yang boleh mengelirukan rakyat apabila heboh mengatakan akan mengambil alih pentadbiran negara pada 16 Sept tahun lalu dan kononnya mendapat sokongan tetapi ia terbukti hanya satu penipuan. BERNAMA