KUALA LUMPUR, 18 Mac — Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini
menamatkan spekulasi beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum
ke-13 apabila beliau berkata hanya mahu kekal neutral dan berada dalam
sempadan sedia ada.
“Saya
tidak bertanding. Saya mahu kekal dalam sempadan yang saya berada
sekarang,” kata beliau dipetik laporan Sinar Harian Online
Bekas mufti Perlis itu sebelum ini diwar-warkan akan menyertai politik sekaligus bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga sebelum ini pernah
mengakui ditemui pemimpin politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan
Rakyat (PR) berhubung perkara itu.
Asri sebaliknya berkata beliau hanya mahun memainka peranan sebagai
pemikir yang hanya akan “menegur” pemimpin kerajaan yang memerintah.
“Kalau semua bertanding dan mengambil pendirian memihak mana-mana
satu kumpulan, siapa yang akan menjadi kumpulan kritis,” katanya lagi.
Asri sejak 2010 dikatakan akan bertanding dalam pilihan raya, namun
desas-desus itu masih tidak jelas parti politik mana yang akan menjadi
pilihannya.
Selain Asri, tokoh agama lain yang turut disebut akan bertanding pilihan raya adalah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.
Kedua-dua tokoh agama ini mula menjadi rebutan parti politik kerajaan
dan pembangkang untuk bertanding di bawah lambang bendera mereka bagi
menarik sokongan pengundi.
Juanda juga bagaimanapun masih lagi belum menamakan mana-mana parti
yang menjadi pilihan untuk beliau wakili dalam pilihan raya akan datang.TMI