KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menasihatkan seluruh ahli dan kepimpinan PAS, khususnya AJK PAS Pusat, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali agar tidak mengkritik dasar mahupun keputusan parti terutama nya menggunakan medium musuh (Umno).
Sebaliknya sesiapa yang tidak berpuas hati dengan sebarang keputusan membabitkan perkara yang te lah ditetapkan melalui Muktamar PAS, mereka haruslah ‘beruzlah’ atau mendiamkan diri, katanya.
Menurut Mat Sabu, sejak dahulu lagi, kepimpinan mahupun ahli PAS yang tidak bersetuju dengan sebarang keputusan PAS mengamalkan sikap berdiam diri dan tidak mengkritik melalui medium musuh.
Dalam keputusan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) semasa zaman Dato’ Asri Muda, meskipun ada beberapa pimpinan dan ahli tidak berpuas hati dengan pendekatan PAS ketika itu, namun mereka berdiam diri sahaja, katanya.
Begitu juga semasa mengangkat keputusan bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan bekerjasama dengan Semangat 46, ada juga ahli yang tidak setuju, katanya.
Namun mereka berdiam diri dan mengambil tindakan untuk tidak aktif sebentar dengan parti, sebaliknya apabila keadaan reda, mereka kembali aktif, katanya.
Dalam perkembangan terbaharu pula, beliau menasihatkan pihak-pihak yang terbabit agar berdiam diri dan sebaiknya berbincang secara dalaman untuk menyampaikan pandangan.
“Nasihat Abang Mat, adalah lebih baik berdiam diri, ataupun sedia berbincang secara dalaman biarpun dengan suasana yang panas dan tegang, agar ia tidak menjadi bahan untuk musuh menyerang kita,” ujarnya.