KOTA BHARU: Tongkat Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan,
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang didermakan kepada Dewan
Pemuda PAS Kota Bharu telah dibida seorang usahawan pada harga RM15,000.
Tongkat itu dibeli Abdullah Beran, 50, pada program lelongan amal di
sebuah pasaraya, bermula jam 3.00 hingga 6.00 petang semalam.
Lelongan bermula dengan harga RM500 dan akhirnya mencecah RM15,000 tepat jam 6.30 petang.
Pada masa yang sama sebanyak RM4,000 lagi berjaya dipungut pada
program itu hasil lelongan barangan lain termasuk sumbangan orang ramai.
Ketika ditemui, Abdullah mengakui sanggup membeli tongkat yang pernah
digunakan Mursyidul Am PAS itu dengan tujuan membantu mangsa kebakaran
di Kampung Sireh Bawah Lemah.
Jelasnya lagi, beliau berhasrat untuk menggunakan sendiri tongkat berkenaan walaupun tidak menggunakannya sebelum ini.
“Saya memang meminati Tuan Guru, dia ikon saya malah saya sentiasa
mengikuti perkembangan tok guru sejak 25 tahun lalu,” ujarnya.
Beliau tidak teragak-agak untuk membeli barangan peribadi Tuan Guru sekiranya ada yang ingin dijual untuk tujuan amal.
Walaupun tidak selincah sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar, tidak
bererti keperihatinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz terhadap rakyat telah
berakhir.
Keperihatinan dan tanda tanggung jawab yang tidak pernah berakhir itu
mendorong Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyerahkan tongkatnya untuk
dilelong baru-baru ini.