Ibu Pejabat Inmarsat di London
MH370 sepatutnya mendarat di ibu negara Republik Rakyat China itu pada awal pagi Sabtu tetapi ia tidak kunjung tiba manakala radar terputus hubungan dengan pesawat itu lebih kurang dua jam selepas ia berlepas dari KLIA.
Dua hari kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan yang MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal sebagai hilang dan gerakan mencarinya sedang diperluaskan ke kawasan yang disyaki sebagai berpotensi untuk mendarat.
Dan dua minggu kemudian, Najib mengumumkan yang penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi - penemuan konklusi yang beliau rujuk kepada hasil analisis data yang diperolehi daripada satelit Inmarsat dan siasatan yang disahkan sebagai kukuh oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB).
Namun begitu laporan awal yang diterima daripada salah sebuah satelit Inmarsat pada 11 Mac lalu iaitu tiga hari selepas pesawat berkenaan hilang adalah permulaan kepada konklusi ini dan membantu para jurutera dan pasukan siasatan antarabangsa untuk mengecilkan pusat pencarian kepada koridor utara dan selatan bermula dari tempat terakhir ia dikesan oleh radar tentera Malaysia di Butterworth.
Pada hari-hari berikutnya selepas data itu diperolehi, para jurutera telah menggunakan satu kaedah yang dianggap sebagai kiraan matematik yang tradisional tetapi ternyata berkesan berjaya menjuruskan carian ke selatan Lautan Hindi.