KUALA LUMPUR 10 Jan: Walaupun mendapat persetujuan polis untuk
berhimpun secara aman, namun pelepasan oleh pihak bekuasa itu umpama
wayang apabila penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) dikehendaki
melalui 27 syarat ketat.
Menurut Pengarah HKR, Mohamad Sabu, syarat-syarat tersebut mengikut Seksyen 15(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
“Setelah berbincang dan berdialog dengan Ketua Polis Daerah Dang
Wangi, ACP Zainuddin Ahmad, mereka bersetuju untuk memberi kerjasama
dengan kita untuk berhimpun secara aman.
“Diharapkan semua datang awal dan memberikan sokongan tanpa membuat
kecoh kerana kita akan berkumpul secara aman,” kata Mohamad kepada media
selepas pertemuan itu di IPD Dang Wangi petang tadi.
Antara syarat ketat yang ditetapkan polis adalah:
1. Penganjur dan peserta yang berada dalam himpunan itu tidak
melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan yang
berkecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, perasaan tidak puas
hati atau permusuhan di kalangan orang awam amnya atau membuat apa-apa
yang akan menganggu ketenangan orang awam.
2.
Penganjur hendaklah memastikan bahawa dia atau mana-mana orang lain
yang berada di himpunan tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah
mana-mana undang bertulis.
3. Penganjur hendaklah mematuhi tarikh, masa dan tempat perhimpunan
sebagaimana yang telah ditetapkan, tarikh 12 Januari 2013, 2 petang
hingga 5 petang di Stadium Merdeka.
4. Penganjur hendaklah menentukan tiada kanak-kanak di bawah umur 15 tahun ke tempat perhimpunan.