KUALA LUMPUR, 9 Sept: “Kalau kita tak pernah dijajah, buat apa sambut merdeka?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
dalam bidasan sinis sebagai reaksi spontan kepada kenyataan sejarahwan Profesor Datuk Dr Zainal Kling yang berhujah bahawa berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
“Sekiranya benar begitu, jadi maksudnya 31 Ogos 1957 bukanlah tarikh merdeka. Jadi Dr Zainal secara tidak langsung nak bagitahu rakyat dah terkena tipu 54 tahun oleh Umno ke?” sindir beliau lagi.
Malaysiakini melaporkan bahawa Zainal berhujah berkata “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”
“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik," katanya.
Beliau turut mendakwa adalah kesalahan yang amat besar jika rakyat menyebut negara kita terjajah selama 400 tahun kerana menurutnya sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.
"Dinaungi tidak sama dengan kolonial... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.
"(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah.
"Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.
Berdasarkan hujah Zainal, Tuan Ibrahim bertanya secara sinis ‘adakah tarikh merdeka sebenar ialah apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia ke 2?’
“Rakyat semakin ‘fening’ di bawah pemerintahan Umno. Sebenarnya ini menandakan bahawa pemikiran rakyat masih terjajah dengan pelbagai fakta mengelirukan,” kata beliau.
Sementara itu, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyindir hujah yang dibuat Dr Zainal.
“Prof Zainal Kling kata bahawa 'kita tidak pernah dijajah, siapa kata kita pernah dijajah itu kesalahan besar'..ertinya selama ini ramai yang tertipu..seruan menghalau penjajah, bebas dari penjajah, merdeka dari penjajahan itu semua itu tidak benar.. satu kesalahan besar..” tulis beliau secara sinis di laman Facebooknya.
“Kemerdekaan lawan bagi kehambaan atau penjajahan..ertinya tiada hari merdeka yang sebenar..kita tidak pernah dijajah..buku sejarah mesti diubah semula..entahlah..siapa yang hendak berteori silalah lagi..macam-macam ada..” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Pengarang Siasah, Mohd Sayuti Omar turut menyindir Zainal dengan soalan-soalan bertubi di blognya.
“Saya ingin tanya profesor yang mahir sejarah itu, apakah yang dilakukan oleh British semasa mereka melindungi Tanah Melayu dalam tempoh itu mereka tidak melaksanakan kerja-kerja menjajah Tanah Melayu.