Oleh
SALMIYYAH HARUNKUALA LUMPUR:Perdebatan berhubung hukuman sebatan terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno timbul apabila peruntukan di dalam Kanun Acara Jenayah yang dikuatkuasakan di Mahkamah Sivil dijadikan kayu pengukur dalam menilai pelaksanaan undang-undang janayah Islam.
Sedangkan adalah jelas dengan berdasarkan semangat dari Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, apa jua keputusan dan perjalanan prosiding di Mahkamah Syariah adalah tidak tertakluk kepada mahkamah sivil.
Pengamal Undang-undang Abdullah Abdul Karim berkata, hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20hb Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa.
Iaitu Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pantadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam kali sebatan.
Katanya, mana-mana pihak yang menyatakan hukuman itu kejam, tidak berperikemanusiaan atau mendikskriminasikan wanita seperti yang dibayangkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil agar mencadangkan Kerajaan Pahang yang dikuasai Barisan Nasional meminda atau memansuhkan peruntukan tersebut di Dewan Undangan Negeri Pahang.
"Selagi peruntukan berkaitan dengan kesalahan meminum arak tersebut dan hukumannya tidak dipinda atau dimansuhkan oleh Dewan Undangan Negeri Pahang, maka peruntukan di dalam enakmen tersebut adalah kekal menjadi undang-undang yang sah yang boleh dikuatkuasakan," tegas Abdullah yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.
Abdullah berkata, berdasarkan kepada peruntukan terperinci di dalam Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, jelas menunjukkan hukuman sebat yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah adalah berbeza dengan hukuman sebat di Mahkamah Sivil.
Kebimbangan pihak-pihak tertentu kononnya hukuman sebat itu adalah zalim serta tidak berperikemanusiaan, katanya tuduhan itu tidak berasas sama sekali.
Cara perlaksanaan (mode of execution) hukuman tersebut telah diperincikan dengan jelas sekali di dalam Seksyen 125 (2) dan (3) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002 yang antara lain memperuntukkan bahawa:
1. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
2. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.
3. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan sebelum hukuman tersebut boleh dijalankan.
4. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.
5. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
6. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
7. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tida
k melukakan kulit pesalah.
8. Jika semasa perlaksanaan hukuman sebab itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan Kerajaan itu memperakukan bahawa pesalah itu sihat tubuh badannya untuk menjalani baki sebatan yang tinggal.
9. Selepas mengenakan satu sebatan, tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.10. Semasa disebat, pesalah hendaklah memakai pakaian menurut Hukum Syarak.
Bahkan, jelasnya, peruntukan Seksyen 125 jauh lebih mendalam dan terperinci berbanding dengan peruntukan berkaitan dengan cara perlaksanaan hukuman sebat yang terdapat di dalam Kanun Acara Jenayah.
Justeru, beliau berpendapat, segala kritikan dan kecaman yang dihamburkan kepada Mahkamah Syariah Kuantan dan juga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersabit dengan isu Kartika ini adalah lahir daripada sikap prejudis dan buruk sangka terhadap apa jua perkara yang berkait dengan perlaksanaan hukum Islam.
Sedangkan katanya, hukuman yang dijatuhkan ke atas Kartika bukanlah hukuman yang menurut hukum Islam sebenar yang berkait dengan minum arak sebagaimana yang diperuntukkan di dalam hukum hudud.
"Sikap prejudis dan buruk sangka ini telah lama tertanam di dalam minda mereka yang anti kepada perlaksanaan hukum Islam ke atas umat Islam di negara ini dan pelbagai alasan dikemukakan bagi menggambarkan betapa zalim dan buruknya hukuman yang dibuat atas nama Islam," katanya.
Saranan Perdana Menteri supaya Kartika membuat rayuan, katanya ianya saranan yang melucukan dan 'ill advised'.
"Bagaimana Perdana Menteri boleh memberikan saranan sedemikian sedangkan Kartika sendiri memilih untuk tidak memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah di atas hukuman yang dijatuhkan ke atasnya. Jika beliau sendiri memutuskan untuk tidak merayu, maka kenapa Perdana Menteri pula yang sibuk-sibuk?" tambah Abdullah.
Oleh itu, Abdullah menggesa Mahkamah Syariah dan Hakim-Hakim Syarie supaya menjalankan tugas dengan adil dan amanah serta tidak tunduk kepada ‘serangan psikologi’ oleh pihak-pihak yang memang sentiasa bersikap prejudis terhadap hukum Islam dengan memberikan pelbagai gambaran negatif.
Katanya, dalam masa yang sama, usaha dakwah bagi memberi penerangan berkaitan dengan hukum Islam terus dijalankan bagi mendidik masyarakat dan menghapuskan sebarang kesangsian serta pandangan buruk mereka terhadap undang-undang Islam.detikdaily