Oleh M FAQIH
PADA 2009 Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan program subsidi
beras kepada rakyat miskin. Ia juga dikenali sebagai SUBUR. Dato’ Seri
Noh Omar mengumumkan penerimanya dipilih dari senarai E-Kasih.
Selepas pengumuman dibuat, macam-macam kenyataan dikeluarkan pemimpin
Umno.Akhirnya, seorang pemimpin Umno dari Kelantan mahu program itu
ditangguh kerana isu senarai penerima dipertikaikan. Kata orang Bachok,
mereka berebut pusaka orang miskin.
Tragedi itu
memperlihatkan wajah Umno sebenar. Program untuk rakyat miskin pun
mereka bertelagah. Akhirnya, program itu hanya terperap di atas kertas.
Cadangan menteri mahu SUBUR dilaksanakan pada awal 2010 sekadar manis
di bibir. Sekarang 2011 menghampiri senja, namun program SUBUR tidak
lagi menjadi subur.
Maka ada pihak berhujah,
bantuan untuk tok fakir pun Umno berebut-rebut. Timbul isu orang aku,
orang kamu. Isu seperti itu sebenarnya tidak menjadi pelik di Kelantan.
Selagi dikenali sebagai ahli atau penyokong Umno segala bantuan
kerajaan pusat mereka bolot. Contohnya bantuan kepada mangsa banjir di
sebuah kampung di Kuala Krai turut dibolot penyokong Umno, sedangkan
rumahnya terletak di atas bukit.
Inilah Umno,
wajah mereka berbalam-balam. Siang nampak jalur di dahi, malam hitam di
hati. Di Dun Manek Urai ramai penyokong Umno mendapat bantuan membaiki
rumah. Ada rumah yang masih elok dan zink belum berkarat diberi zink
baru.
Rumah bukan penyokong Umno yang tiris di
sana-sani dibiarkan. Habuan projek bernilai lebih RM5,000 merubah wajah
rumah penyokong Umno.
Itu belum lagi diungkit
rumah program pembangunan rakyat termiskin (PPRT). Cerita ketua wanita
cawangan atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
Persekutuan (JKKKP) bolot rumah PPRT bukan cerita baru. Lebih menariknya
rumah itu bukan diduduki, sebaliknya disewakan. Buktinya ada di
mana-mana termasuk di Dun Bunut Payong, Kota Bharu.