Seorang aktivis hak asasi wanita hari ini menafikan dakwaan beberapa
blog yang menerbitkan gambar umat Islam hadir di sebuah majlis rasmi di
sebuah institut pendidikan Islam adalah bukti sebuah sesi memurtadkan
umat Islam di sebuah gereja di Malaysia.
Yu Ren Chung, aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Women’s Aid
Organisation, berkata gambarnya bersama yang lain di sebuah majlis
kerajaan disalah tafsir pelbagai pihak menerusi blog dan media sosial.
Katanya, gambar itu diambil pada 2012 ketika sebuah program anjuran
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang diadakan
di dewan kuliah Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan di Jalan Duta,
Kuala Lumpur.
"Kasihan penjawat awam yang berada di dalam gambar itu. Mereka hanya
menjalankan tugas menghadiri program LPPKN tetapi dituduh murtad,"
katanya dalam satu kiriman blog semalam.
Gambar tersebut menunjukkan Yu bersama beberapa yang lain, termasuk wanita bertudung, sedang duduk di bangku kayu.
Acara yang berlangsung pada Februari 2012 itu membincangkan Dasar Keluarga Negara dan dihadiri penjawat awam dan aktivis NGO.
Yu berkata beberapa blog di Malaysia dan Indonesia mendakwa gambar
berkenaan adalah program memurtadkan, manakala ada yang menuduh parti
pembangkang berhubung gambar tersebut.
“Kasihan juga saya dengan PAS dan DAP," tulis Yu. "Bila isu murtad
ditimbulkan, selalu sahaja DAP yang kena – kali ini PAS pun tak terlepas
(padahal, program itu dianjurkan kerajaan BN).