Secara jelas saya menolak dakwaan Tan Sri (ketika itu Datuk Seri) Haji Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak, yang kononnya krisis tersebut berpunca dari sikap saya. Mufti tersebut dalam wawancaranya dengan majalah MM keluaran Mei 2009 mendakwa kononnya Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi Awang bersetuju PAS membentuk kerajaan bersama UMNO di Perak. Hanya saya yang ketika itu selaku Pesuruhjaya PAS Perak yang menolak cadangan itu.
Penjelasan saya sebahagiannya ditapis dan tidak disiarkan tetapi saya siarkan dalam blog saya. Bahkan saya dedahkan perbuatan mungkir janji pihak Editor mengenai beberapa syarat yang dipersetujui untuk menemubual saya.
Atas persetujuan kepada syarat-syarat itulah saya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah MM yang membuat tulisan berunsur fitnah terhadap saya. Saya percaya kerana tidak senang dengan pendedahan dalam blog saya menyebabkan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad( gambar ) menulis, samada dengan maksud membela Tan Sri Harussani atau pun cuba mempertahankan majalah MM yang di bawah naungannya, sebelum beliau tamat perkhidmatannya selaku Pengarah YADIM pada 31 Oktober yang lalu.
Saya masih ingat pada suatu hari dalam bulan Jun lalu, Datuk Nakhaie dalam perbualan telefon dengan saya begitu mesra menyatakan persetujuannya supaya majalah MM menemubual saya untuk menjawab segala perkara yang berkaitan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Harussani. Akan tetapi ternyata beliau mencari peluang untuk menzahirkan isi mindanya dalam "Kembara Minda" majalah tersebut.