KUALA LUMPUR 27 APRIL: Berbeza dengan media perdana di Malaysia,
laporan berita di Thailand lebih telus apabila menyiarkan hasil kajian
berkaitan populariti antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri
Najib Razak.
Seperti yang dilapor Keadilan Daily
sebelum ini, kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya
Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan 43 peratus memilih Anwar sebagai
Perdana Menteri (PM) berbanding Najib yang hanya memperoleh 39 peratus.
Berdasarkan
kajian tersebut, berita Thailand menyiarkannya dengan tujuan untuk
santapan berita rakyat utara Semenanjung termasuk Kedah, Kelantan dan
Perlis yang berhampiran sempadan Thai kerana mereka juga mendapat siaran
TV Siam.Di Malaysia, bagaimanapun kajian itu hanya dilapor media alternatif dan portal berita.
“Ironinya, di luar negara, hasil-hasil kajian seperti ini akan
menjadi berita utama terutama menjelang pilihan raya,” kata Pengarah
Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad mengulas perkara itu.
Menurut calon Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu, di Malaysia,
terdapat banyak pusat kaji selidik, tetapi apabila hasil kajian tidak
menyebelahi Najib, media perdana turut dilarang menyiarkannya.
“Kita ada Merdeka Centre dan sebagainya, tetapi hanya apabila kajian
menyebelahi Najib dan pimpinan BN, barulah media perdana laporkan. Jika
berlaku sebaliknya, jangan haraplah liputan berpihak kepada kita, dan
ini menjadi kebiasaan di Malaysia,” kata Nik Nazmi.
“Bagaimanapun, kita yakin kajian itu petanda kemenangan Pakatan Rakyat pada 5 Mei nanti.“Keyakinan ini bukan sahaja berdasarkan peratusan itu, tetapi melalui
kempen dan respon yang kita terima semasa bertemu pengundi,” jelasnya.KD