Atau, adakah memadai untuk Peguam Negara menutup kes ini di sini, selepas pendakwaraya mengambil kesempatan menghebahkan kononnya dua profesor sebuah kolej dari Amerika Syarikat memberitahu Polis DiRaja Malaysia bahawa orang dalam video itu adalah mirip Anwar.
Pendakwaan itu digunakan sepenuhnya oleh Peguam Negara, Polis dan peguam 'Datuk T' untuk mengitar semula tuduhan terhadap Anwar, kali ini di dalam sebuah mahkamah terbuka.
Pada masa sama mereka menutup ruang untuk Anwar mempertahankan diri seraya memeriksa laporan “pakar” dan bukti- bukti lain yang dikemukakan semalam.
Justeru persoalan yang amat relevan adalah : Adakah Peguam Negara sanggup untuk membawa pertuduhan terhadap Anwar sendiri demi mempertahankan hasil siasatan polis dan pakar yang digunakan oleh pendakwaraya untuk mengaibkan beliau ?
Sayang sekali, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Shuib Lazim dan Eskay Abdullah tidak pula mengaku TIDAK bersalah dengan hujah mereka bertindak menayangkan video itu demi kepentingan negara dan bukan kerana mencari keuntungan diri.
Jika mereka berani meminta dibicarakan, maka sudah tentu ia memberi ruang kepada Anwar untuk dipanggil sebagai saksi dan peguam- peguam Anwar pula boleh memohon untuk menjadi pemerhati dengan hak menyoal balas “pakar- pakar” pendakwaraya.
Namun ini tidak berlaku. Gandingan 'Datuk T' sebaliknya cepat- cepat mengaku salah, dan membayar denda ringan. Sebaik sahaja keluar mahkamah, 'Datuk T' dan peguam mereka melontarkan satu lagi pusingan tuduhan terhadap Anwar.