KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
(Gamis) mengadakan himpunan aman mengecam tindakan Israel melakukan
serangan ke atas Gaza, semalam yang mengorbankan tujuh nyawa.
Kumpulan itu berkumpul di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, petang
ini, sebagai langkah awal menyatakan bantahan kepada kekejaman Israel
terhadap rakyat Palestin.
Presiden Gamis, Mohd Azan Safar, berkata pihaknya mendesak kerajaan
Mesir dan Turki untuk menghantarkan bantuan kepada Palestin, selain
menuntut Wisma Putra menyatakan pendirian yang tegas berkaitan isu
Palestin itu.
Sehubungan itu, katanya Gamis berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan Mesir dan Turki bagi tujuan tersebut.
"Tarikh dan masanya belum kita putuskan lagi, tapi kita akan lakukan
dalam tempoh terdekat. Kita juga merancang untuk mengadakan
demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat, yang dikaitkan
sebagai rakan baik Israel sebagai tanda bantahan kami," tegas beliau di
hadapan kira-kira 30 orang mahasiswa.
Dalam pada itu, Gamis turut menuntut agar Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) segera bertindak untuk menghentikan kezaliman terhadap
Gaza.
Gamis juga akan mendesak Wisma Putra untuk menyatakan pendirian yang
tegas berkaitan serangan terbaru Israel itu, memandangkan setakat piket
ini dilakukan belum ada respons daripada Wisma Putra.
Selain Azan, turut berucap pada piket tersebut ialah Pengerusi Majlis
Politik Nasional Gamis, Ahmad Afif Zulkifli; dan Setiausaha
Sekretariat Pendakwah Muda Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Mohd
Hanif Abdul Jalil.Himpunan aman itu berlangsung kira-kira satu jam dan diakhiri dengan bacaan doa.Hrkh