KUALA LUMPUR, 21 Dis — Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah
undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menjadi sasaran
siasatan tiga pihak dua bulan lalu, akan melangkah keluar dari pusat
pengajian tinggi itu, 31 Disember ini.
Ketika dihubungi malam tadi, pakar perlembagaan itu mengesahkan perkembangan terbaru ini.“Ia hari terakhir saya berkhidmat di UIA,” kata beliau (gambar).Bagaimanapun beliau tidak memberitahu rancangan masa depannya.
“Saya tidak dipecat oleh UIA dan saya yakin mereka tidak ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.
“Apa pun senario yang ada tidak mengizinkan saya berfungsi sebagai
ahli akademik yang komited kepada ideal kebebasan akademik,” kata beliau
dengan merujuk kepada perkembangan sejak beberapa bulan lalu.“Kemungkinan, saya merupakan tenaga akademik pertama menjadi mangsa
disebabkan persekitaran seperti ini, berhadapan dengan tekanan kerana
memberi komen hanya berdasarkan kepakaran saya.
“Memang ada tenaga akademik yang pernah berhenti kerana bercakap atas
platform menggunakan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi saya memberi
pandangan mengenai isu-isu semasa menggunakan kepakaran saya,” kata
beliau lagi.
Awal bulan ini, beliau tidak menafikan beliau akan meninggalkan UIA
ekoran siri tekanan termasuk siasatan berkenaan kenyataan beliau
menyentuh titah Sultan Selangor dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor
(Jais)-gereja.
“Saya sedang mempertimbangkan perkara ini, ada beberapa opsyen,” kata beliau ketika itu.Aziz berkata, walaupun ada beberapa pilihan tetapi jika boleh mahu terus kekal berkhidmat dalam bidang akademik.Bulan lalu, Sultan Selangor secara langsung dan terbuka telah
menyebut nama Aziz berhubung isu audit Majlis Agama Islam Selangor
(Mais).
Pada Oktober itu, Aziz menerima surat tunjuk sebab berhubung isu
titah Sultan Selangor - yang ketiga sepanjang berkhidmat dengan UIA.Menurut surat tunjuk sebab UIA itu, Aziz didakwa telah memudaratkan imej universiti.Setakat ini, kata Aziz, hasil siasatan UIA belum diketahui.Beliau juga disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Aziz, 52, telah berkhidmat lebih dua dekad di Kuliah Undang-undang
UIA dan sering dilantik sebagai pemeriksa luar bagi ijazah lanjutan baik
di dalam maupun di luar negara.The Malaysian Insider difahamkan Aziz juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred ‘A’.
Ditanya perasaannya, Aziz berkata, beliau rasa berat dan sedih
meninggalkan universiti, khususnya para pelajar yang berebut-rebut mahu
mendaftar mengikuti kursusnya.Beliau juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meninggalkan beberapa orang pelajar pengajian doktor falsafah.
Mengulas mengenai rancangan masa depan, Aziz berkata, “saya masih ada
kertas peperiksaan yang perlu ditanda selain memastikan para pelajar
PhD saya selamat dan tidak ditolak ke sana ke mari. Buku-buku saya juga
banyak dan ini semua perlu diangkut balik dan ini semua memakan masa
paling tidak sebulan.”Mengenai spekulasi yang beliau akan memasuki politik, Aziz
memberitahu, “politik sebagaimana akademik adalah medan yang perlu untuk
perubahan dalam masyarakat.”
“Tetapi politik bukan bidang yang akan jadi profesyen saya
sebagaimana akademik. Saya tetap akan berfungsi sebagaimana sebelumnya,
khususnya memberi pandangan, menulis dan seumpamanya. Saya harap saya
akan kembali ke dunia akademik meskipun tidak semestinya di UIA,”
katanya lagi.Difahamkan Aziz sedang menyiapkan buku ke-10 beliau, yang menyentuh
mengenai kedudukan dan peranan raja berperlembagaan di Malaysia.TMI
1 ulasan:
"Pilihan dan tindakan beliau akan menyenangkan semua pihak terutama bekas majikannya, kerajaan dan juga parti pembangkang. " termasuk parti memerintah juga.
Catat Ulasan