Rabu, 21 Disember 2011

Sah !!! Aziz Bari Tinggalkan UIA 31 Dis Ini

KUALA LUMPUR, 21 Dis — Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menjadi sasaran siasatan tiga pihak dua bulan lalu, akan melangkah keluar dari pusat pengajian tinggi itu, 31 Disember ini.

Ketika dihubungi malam tadi, pakar perlembagaan itu mengesahkan perkembangan terbaru ini.“Ia hari terakhir saya berkhidmat di UIA,” kata beliau (gambar).Bagaimanapun beliau tidak memberitahu rancangan masa depannya.

“Saya tidak dipecat oleh UIA dan saya yakin mereka tidak ada alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.
“Apa pun senario yang ada tidak mengizinkan saya berfungsi sebagai ahli akademik yang komited kepada ideal kebebasan akademik,” kata beliau dengan merujuk kepada perkembangan sejak beberapa bulan lalu.“Kemungkinan, saya merupakan tenaga akademik pertama menjadi mangsa disebabkan persekitaran seperti ini, berhadapan dengan tekanan kerana memberi komen hanya berdasarkan kepakaran saya.

“Memang ada tenaga akademik yang pernah berhenti kerana bercakap atas platform menggunakan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi saya memberi pandangan mengenai isu-isu semasa menggunakan kepakaran saya,” kata beliau lagi.

Awal bulan ini, beliau tidak menafikan beliau akan meninggalkan UIA ekoran siri tekanan termasuk siasatan berkenaan kenyataan beliau menyentuh titah Sultan Selangor dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)-gereja.

“Saya sedang mempertimbangkan perkara ini, ada beberapa opsyen,” kata beliau ketika itu.Aziz berkata, walaupun ada beberapa pilihan tetapi jika boleh mahu terus kekal berkhidmat dalam bidang akademik.Bulan lalu, Sultan Selangor secara langsung dan terbuka telah menyebut nama Aziz berhubung isu audit Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pada Oktober itu, Aziz menerima surat tunjuk sebab berhubung isu titah Sultan Selangor - yang ketiga sepanjang berkhidmat dengan UIA.Menurut surat tunjuk sebab UIA itu, Aziz didakwa telah memudaratkan imej universiti.Setakat ini, kata Aziz, hasil siasatan UIA belum diketahui.Beliau juga disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Aziz, 52, telah berkhidmat lebih dua dekad di Kuliah Undang-undang UIA dan sering dilantik sebagai pemeriksa luar bagi ijazah lanjutan baik di dalam maupun di luar negara.The Malaysian Insider difahamkan Aziz juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred ‘A’.

Ditanya perasaannya, Aziz berkata, beliau rasa berat dan sedih meninggalkan universiti, khususnya para pelajar yang berebut-rebut mahu mendaftar mengikuti kursusnya.Beliau juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meninggalkan beberapa orang pelajar pengajian doktor falsafah.

Mengulas mengenai rancangan masa depan, Aziz berkata, “saya masih ada kertas peperiksaan yang perlu ditanda selain memastikan para pelajar PhD saya selamat dan tidak ditolak ke sana ke mari. Buku-buku saya juga banyak dan ini semua perlu diangkut balik dan ini semua memakan masa paling tidak sebulan.”Mengenai spekulasi yang beliau akan memasuki politik, Aziz memberitahu, “politik sebagaimana akademik adalah medan yang perlu untuk perubahan dalam masyarakat.”

“Tetapi politik bukan bidang yang akan jadi profesyen saya sebagaimana akademik. Saya tetap akan berfungsi sebagaimana sebelumnya, khususnya memberi pandangan, menulis dan seumpamanya. Saya harap saya akan kembali ke dunia akademik meskipun tidak semestinya di UIA,” katanya lagi.Difahamkan Aziz sedang menyiapkan buku ke-10 beliau, yang menyentuh mengenai kedudukan dan peranan raja berperlembagaan di Malaysia.TMI

1 ulasan:

  1. "Pilihan dan tindakan beliau akan menyenangkan semua pihak terutama bekas majikannya, kerajaan dan juga parti pembangkang. " termasuk parti memerintah juga.

    BalasPadam