Karpal dan Liong Sik berkawan rapat sejak dari zaman pelajar
GEORGE TOWN: Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menyifatkan mendiang Karpal Singh sebagai pelajar yang suka main-main dan selalu gagal dalam peperiksaan.
Dr Ling yang tinggal sebilik dengan Karpal di asrama pada awal 1960-an berkata mereka bersama-sama menuntut di Universiti Malaya di Singapura.
"Kami menginap di asrama yang sama di Dunearn Road di Singapura dan saya mengingati beliau sebagai seorang pelajar nakal yang selalu gagal dalam peperiksaan.
"Semasa saya menjadi presiden kesatuan pelajar, Karpal masih di semester satu sebagai anggota jawatankuasa," kata beliau kepada pemberita sebelum memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di sini.
Beliau berkata, pada suatu ketika,
Karpal bertekad untuk lulus semua kertas peperiksaan dan memperoleh
ijazah untuk menjadi peguam yang dihormati dan beliau telah
membuktikannya.
Ketika ditanya mengenai
persahabatannya dengan Karpal, Dr Ling berkata kedua-dua mereka menjalin
"hubungan rapat secara senyap" memandangkan mereka menyertai parti politik yang berbeza selepas memperoleh ijazah.
"Pernahkah anda mendengar Karpal
memarahi Liong Sik atau saya memarahi Karpal. Tidak, kami tidak pernah
memarahi satu sama lain disebalik berbeza fahaman politik. Saya hanya
memarahi DAP dan beliau cuma memarahi MCA.
"Saya amat merasai kehilangan Karpal dan negara juga kehilangannya," kata bekas menteri pengangkutan itu yang kelihatan sebak apabila menceritakan mengenai kawan lamanya.
Antara yang hadir memberi penghormatan
terakhir kepada Karpal di kediamannya di Jalan Utama di sini hari ini
termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, naib presiden MCA Datin Paduka
Chew Mei Fun.
Turut hadir Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang
Teng Chang Yeow, ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Datuk Jahara Hamid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Karpal Singh terbunuh dalam nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pukul 1.10 pagi semalam.
Mendiang berusia 74 tahun.Turut terbunuh dalam nahas itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 39. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan