KUALA LUMPUR 29 Oktober: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yakin Pakatan Rakyat (Pakatan) mampu membentuk Kerajaan Pusat yang baru
tanpa politik kotor dan rasuah.
Katanya, kemenangan berlandaskan politik matang dan bersih lebih signifikan berbanding budaya fitnah dan penindasan.
“Saya
tidak datang untuk mencerca Najib (Razak), Rosmah (Mansor) dan Umno.
Saya nak (Pakatan) menang dan rakyat bangkit menolak rasuah dan fitnah,”
katanya di depan 400 penduduk di Warung Ibu Nasi Ambeng, Kg Sungai
Gulang-Gulang, Permatang, Tanjung Karang pada Jelajah Merdeka Rakyat
semalam.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Umno BN terus goyah dan banyak isu
yang gagal dipertahan melainkan memburukkan Pakatan, meskipun mereka
menguasai seluruh jentera kerajaan termasuk media.
Beliau mengingatkan rakyat jangan terkeliru dengan dakyah yang dimainkan media yang terus-menerus memutarbelitkan fakta sebenar.
“Sebab apa dia (Najib) takut? Dia punyai televisyen, jentera dan wang
kerana dia ada rasuah. Sebab itu dia tidak mampu jawab,” ujar Penasihat
Ekonomi Selangor itu dipetik MediaSelangorku.
Anwar sekali lagi mengulangi ikrar untuk menurunkan harga minyak
dalam tempoh 24 jam selepas Pakatan menawan Putrajaya selain membatalkan
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Jelajah
itu turut disertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
yang tiba pada jam 12.30 tengahari bersama rombongan dengan menaiki bas
Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.
Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Ketua
Penerangan Negeri, Shuhaimi Shafiei; Adun Kota Alam Shah, M Manoharan
dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.Terdahulu, Jelajah Merdeka Rakyat mengunjungi penduduk Pekan Sungai Besi.
Selepas selesai di DUN Permatang, rombongan kemudian ke Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.Jelajah diteruskan dengan solat dan tazkirah maghrib di Masjid Abu
Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung sebelum bergerak ke
Pekan Rasa.
Pada jam 9 hingga 12 tengah malam, program diteruskan dengan Ceramah
Perdana Merdeka Rakyat di Pusat Bandar Baru Batang Kali, Ulu Selangor.
Penceramah terbabit termasuk Anwar, Khalid, Azmin, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Naib Presiden, N Surendran.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan