KUANTAN – Gabungan Tukar MB Pahang (Tukar) tidak bersetuju dengan
tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob yang
didakwa menghina Orang Asli ketika berhimpun di pekarangan Wisma Sri
Pahang, tiga hari lalu.
Penyelarasnya, Lee Chean Chung berkata, sebagai pemimpin, beliau
seharusnya lebih terbuka serta tidak mengeluarkan kata-kata negatif yang
boleh menyinggung perasaan orang lain.
“Jika beliau (Adnan) marah sekalipun, tidak perlulah mengeluarkan
perkataan yang tidak sepatutnya. Tindakannya itu seolah-olah tidak
menghormati golongan bawahan.
“Mereka juga sebahagian daripada rakyat Pahang dan mungkin juga salah
seorang daripada pengundi beliau. Jadi, mereka sepatutnya mendapat
layanan yang sebaiknya,” katanya pada sidang media semalam.
Turut hadir, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang,
Kamarul Hatta Mohamed Ali, Ahli Jawatankuasa Sunflower Electoral
Education Developement (Seed) Pahang, Toh Chin Hong dan wakil Stop
Lynas, Arumugam.
Chean Chung berkata, pihaknya kecewa dengan sikap Adnan dan meminta
beliau untuk mengemukakan permohonan maaf kepada ahli Jaringan Kampung
Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM).
“Adnan perlu tampil memohon maaf kepada Orang Asli yang terlibat serta
lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan selepas ini. Jika
tidak, rakyat akan hilang hormat kepadanya,” katanya.
Insiden itu didakwa berlaku pada Rabu lalu ketika lebih 120 ahli
JKOASM berhimpun di depan pejabat Menteri Besar bagi menyerahkan
memorandum yang mendesak kerajaan negeri memberi perhatian serius
tentang isu pencerobohan dan tuntutan tanah adat.
Melalui memorandum itu, sebanyak lapan perkara telah dibangkitkan oleh
kumpulan berkenaan serta mereka bertegas menyerahkan sendiri memorandum
itu kepada Adnan.SH
Video berkaitan DISINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan