SHAH ALAM 4 SEPT : Kontroversi berhubung pindaan Seksyen 114A, Akta
Keterangan memperlihatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin mula untuk menonjolkan kuasa bagi mencabar bosnya Datuk Seri
Najib Razak.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata kedua-dua pemimpin itu
sebenarnya sedang menyembunyikan pergeseran bagi perebutan kuasa politik
tertinggi negara.
Sebelum ini, Muhyiddin memanggil dua Timbalan Menteri, Datuk
Saifuddin Abdullah dan Gan Ping Sieu masing-masing dari Kementerian
Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia Dan Sukan berhubung pendirian
mereka yang tidak bersetuju dengan Seksyen 114A, Akta Keterangan itu.
Mesyuarat kabinet pada 15 Ogos, dipengerusikan oleh Muhyiddin ketika
Perdana Menteri berada di luar negara. Kabinet yang dipengerusikan
Muhyiddin memutuskan untuk menegur dua oarang Timbalan Menteri terlibat.
Ini bertentangan dengan keputusan Najib mesyuarat kabinet yang lalu di mana membatalkan keputusan awalnya untuk menegur mereka.
Lebih hangat apabila di negeri kelahiran Muhyiddin iaitu Johor, kini
terdapat poster-poster bekas Menteri Besar itu yang menuntut beliau
menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan
datang.
“Dulu dilihat Mahathir dilihat bagai bergabung dengan Najib untuk
menolak Pak Lah, kini Muhyiddin menggunakan perkara yang sama untuk
barangkali menjatuhkan imej Najib,” jelas Mohamad Sabu ketika dihubungi.
Mohamad Sabu berkata, peluang untuk Muhyiddin menjadi Perdana Menteri
semakin tipis jika Najib mendapat mandat sepenggal lagi dalam PRU yang
akan datang.
Sementara itu, Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata
pergeseran antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berlaku
sejak sekian lama.
Malahan ujarnya, ia semakin meruncing tatkala Tun Dr Mahathir
Mohammad menjadi Perdana Menteri dengan menyingkirkan
timbalan-timbalannya yang dilihat memberikan ancaman politik.
“Begitu juga dalam kes (Tun)Abdullah Badawi, apabila keputusan
pilihan raya 2008 menyebabkan sokongan terhadap Umno-BN semakin lemah
dan merosot.
“Maka terdapat tindakan-tindakan politik yang dipelopori oleh
Muhyiddin sendiri untuk mengusir dan mendesak Pak Lah meletakkan
jawatan.
“Saya yakin tindakan ini yang mungkin berlaku di dalam Umno sekarang
ini, apatah lagi Najib sebagai Perdana Menteri mempunyai banyak
liabiliti dan tanggungan yang boleh mencacatkan nama di pihak BNl,” ujar
Shamsul ketika dihubungi.
Tambah beliau,ramai pemimpin-pemimpin Umno yang semakin tidak senang
dengan Najib Razak dan isterinya,Rosmah Mansor, yang akan menjejaskan
sokongan rakyat kepada BN dalam PRU-13 nanti.
“Justeru, Muhyiddin Yasin selaku timbalan dan malah melihat perkara
ini sebagai peluang untuk beliau naik ke atas sebagai Perdana Menteri
yang tentunya akan berbuat sesuatu.
“Ini adalah modus operandi yang sentiasa dilakukan oleh
pemimpin-pemimpin Umno dalam keadaan Umno-BN semakin lemah dalam
mendapatkan sokongan padu rakyat,” jelas Shamsul.
Poster misteri menyokong Muhyiddin menggantikan Najib sebagai perdana
menteri sebelum PRU13 diedarkan berleluasa di Johor walaupun dinafikan
Umno Johor bahawa poster itu dicetak oleh parti itu.
Imej poster itu menunjukkan potret Muhyiddin dan bendera Malaysia disebarkan secara meluas di Internet.
Poster itu berbunyi ‘Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM
sebelum PRU 13′ di bahagian bawah dan ‘Selamatkan Barisan Nasional’ di
atas.
Ia juga memaparkan logo BN dan Umno, serta tulisan ‘Terbitan Barisan Nasional Negeri Johor’.TVS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan