SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
berkata dakwaan blogger pro Umno Raja Petra Kamaruddin (RPK) bahawa
terdapat amalan rasuah dan pemberian duit ‘bawah meja’ dalam
pentadbirannya hanya fitnah kerana tiada sebarang bukti dikemukakan.
“Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk memerangi
rasuah dan memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah ditangkap dan
didakwa.
“Ini penting kerana hendak tentukan tujuan tercapai dan kita mahu
kurangkan fitnah sebab orang cakap ada rasuah tapi tidak dapat
buktikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat
Exco di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung dakwaan
RPK bahawa kerajaan Pakatan Rakyat gagal membawa perubahan di Selangor.
Pada masa sama ketika ditanya sama ada beliau akan menemui sendiri
RPK bagi meminta penjelasan mengenai dakwaan tersebut, Abdul Khalid
menjelaskan perkara itu tidak perlu dilakukan.
Pada Ahad lalu, RPK berkata maklum balas daripada ahli perniagaan
mendakwa tahap rasuah di Selangor masih sama selain masih ada yang
membayar duit ‘bawah meja’.
RPK turut menyifatkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.
Imbuhan
Sementara itu, Abdul Khalid percaya wujud elemen khianat dalam isu
pengutipan sampah untuk menggambarkan seolah-olah pihak berkuasa
tempatan (PBT) gagal melaksanakan tugas yang sebelum ini dilaksanakan
oleh Alam Flora Sdn Bhd.
“Kami mencadangkan kepada PBT untuk memberi imbuhan kepada pemberi
maklumat sehingga tertangkapnya pihak tidak bertanggungjawab ini.
“Kita juga ada pelan kecemasan dengan menggunakan khidmat syarikat
Hebat Abadi yang dimiliki oleh Kumpulan Darul Ehsan jika timbulnya
masalah membabitkan kontraktor.
“Ada empat PBT yang berdepan masalah ini iaitu Shah Alam, Klang,
Petaling Jaya dan Subang Jaya. Kita juga sudah minta Datuk Bandar
Shah Alam keluarkan tender Jumaat ini dan panggil mereka yang hendak
sertai dan keputusan akan dibuat dalam tempoh dua bulan,” jelas beliau.
Ujarnya, kerajaan negeri turut mengwujudkan talian bebas tol yang
beroperasi selama 24 jam bagi membolehkan aduan tersebut dibuat.FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan