Rabu, 4 Januari 2012

Raja Petra dakwa rasuah tapi tiada bukti - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dakwaan blogger pro Umno Raja Petra Kamaruddin (RPK) bahawa terdapat amalan rasuah dan pemberian duit ‘bawah meja’ dalam pentadbirannya hanya fitnah kerana tiada sebarang bukti dikemukakan.
“Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk memerangi rasuah dan memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah ditangkap dan didakwa.
“Ini penting kerana hendak tentukan tujuan tercapai dan kita mahu kurangkan fitnah sebab orang cakap ada rasuah tapi tidak dapat buktikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung dakwaan RPK bahawa kerajaan Pakatan Rakyat gagal membawa perubahan di Selangor.
Pada masa sama ketika ditanya sama ada beliau akan menemui sendiri RPK bagi meminta penjelasan mengenai dakwaan tersebut, Abdul Khalid menjelaskan perkara itu tidak perlu dilakukan.
Pada Ahad lalu, RPK berkata maklum balas daripada ahli perniagaan mendakwa tahap rasuah di Selangor masih sama selain masih ada yang membayar duit ‘bawah meja’.
RPK turut menyifatkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.


Imbuhan

Sementara itu, Abdul Khalid percaya wujud elemen khianat dalam isu pengutipan sampah untuk menggambarkan seolah-olah pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal melaksanakan tugas yang sebelum ini dilaksanakan oleh Alam Flora Sdn Bhd.
“Kami mencadangkan kepada PBT untuk memberi imbuhan kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pihak tidak bertanggungjawab ini.
“Kita juga ada pelan kecemasan dengan menggunakan khidmat syarikat Hebat Abadi yang dimiliki oleh Kumpulan Darul Ehsan jika timbulnya masalah membabitkan kontraktor.
“Ada empat PBT yang berdepan masalah ini iaitu Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan Subang Jaya. Kita juga sudah minta Datuk Bandar
Shah Alam keluarkan tender Jumaat ini dan panggil mereka yang hendak sertai dan keputusan akan dibuat dalam tempoh dua bulan,” jelas beliau.
Ujarnya, kerajaan negeri turut mengwujudkan talian bebas tol yang beroperasi selama 24 jam bagi membolehkan aduan tersebut dibuat.FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan