Oleh Suriati Sidek Ahmad
KUALA LUMPUR: Badan kehakiman terus berdepan dalam menangani lebih
banyak kes berhubung isu perlembagaan tahun ini terutama hak individu.Awal bulan lepas, empat lelaki yang memilih kerjaya sebagai mak
andam, mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Seremban untuk mencabar
perintah undang-undang Syariah yang menghalang mereka berpakaian
seperti perempuan.
Mereka meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen
Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tidak mempunyai kesan dan tidak
terpakai kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau
mempunyai kecelaruan identiti jantina.
Hakim Rosnaini Saub membuat keputusan itu atas pendapat bahawa permohonan itu membabitkan pelbagai isu perlembagaan.Bagaimanapun tarikh pendengaran permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka belum ditetapkan.
Dalam permohonan itu, Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 24, Shukor Jani,
25, Wan Fairol Wan Ismail, 27 dan Adam Shazrul Mohd Yusoff, 25,
menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya,
ketua pegawai penguatkuasa syariah, ketua pendakwa raya syariah dan
kerajaan negeri sebagai responden.
Antara lain, Seksyen 66 didakwa menafikan hak mereka dari segi
kebebasan melahirkan perasaan masing-masing dan enakmen itu
menyebabkannya sukar bergerak dan ini merupakan satu pelanggaran hak
mengikut Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai mobiliti.Mereka juga mendakwa seksyen itu juga melanggar Perkara 5
Perlembagaan Persekutuan berhubung hak kebebasan terutama dari segi
kebebasan memilih.
Tukar jantina
Di Kuala Terengganu, Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25( gambar ), yang menjalani
pembedahan menukar jantina dua tahun lepas, gagal dalam permohonan
untuk menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz dalam MyKad.
Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu memutuskan ia tidak mempunyai
bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah berhubung penukaran status
jantina dalam dokumen pengenalan diri dengan hanya berdasarkan
pembedahan menukar jantina ekoran ketiadaan peruntukan yang membenarkan
mahkamah berbuat demikian.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata
keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira tiga faktor iaitu
kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan
kewujudan organ dalaman.
Mohd Ashraf, yang berasal dari Seberang Takir, memfailkan permohonan
itu pada 25 Mei selepas menjalani pembedahan menukar jantina di
Thailand kerana mendakwa berdepan kesukaran untuk hidup secara normal
sebagai seorang wanita, selain memudahkan beliau diterima masuk ke
sebuah universiti tempatan.
Hakim Mohd Yazid juga memutuskan bahawa Mohd Ashraf bukanlah wanita
tulen walaupun beliau telah menjalani pembedahan menukar jantina.Dua minggu selepas itu, Mohd Ashraf meninggal dunia akibat serangan jantung tidak stabil.
Politik pelajar
Satu lagi keputusan “mengejutkan” dibuat Mahkamah Rayuan yang
mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) 1971 yang melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan
dalam aktiviti politik sebagai tidak sah di sisi undang- undang.
Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim memutuskan seksyen itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert
membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan empat penuntut jurusan
sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang berdepan
tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya
kecil bagi Parlimen Hulu Selangor pada 24 April tahun lepas.
Sementara itu Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, yang mengetuai panel itu
menentang dan memutuskan bahawa larangan itu perlu bagi mengelakkan
ideologi politik meresap di kalangan penuntut yang mudah terdedah,
tertakluk kepada tekanan rakan sebaya dan mudah terpengaruh, yang akan
menjejaskan peranan utama universiti dalam menyediakan pendidikan.
Bagaimanapun, Hakim Hishamuddin berpendapat seksyen itu tidak
rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran kritis dan asli
penuntut institusi pengajian tinggi.Hakim Albert pula berkata seksyen itu melanggar Perkara 10(1)(a)
Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bersuara dan
ekspresi.
Selain itu, perbicaraan kes liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat liputan meluas media.Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan sama ada Anwar
bersalah atau sebaliknya pada 9 Jan depan bagi pertuduhan melakukan
persetubuhan di luar tabii terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan, 26, tiga tahun lepas.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan