Adakah kemunculan semula Ummi Hafilda Ali dan Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kancah politik untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku secara kebetulan atau sebahagian daripada perancangan licik untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu ?
Selepas menyisihkan diri dari arus politik tanah air untuk lebih 10 tahun Ummi Hafilda muncul semula dalam “road show” tajaan Umno untuk mengitar sekali lagi pelbagai tuduhan terhadap Anwar.
Setelah dipaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 dan gagal kembali ke persada utama Umno, kerana tuduhan merogol gadis bawah umur dan dibelit dengan dakwaan rasuah, Rahim ‘mengaum” semula dengan mengibarkan video seks lucah Anwar.
Kedua- duanya memberi amaran bahawa kononnya mereka mempunyai banyak pendedahan seks lain, seks yang akan terus mengaibkan Anwar. Malah, Rahim berkata Anwar tidak harus terkejut jika secara tiba- tiba lebih ramai lagi “Eskay” muncul membuat pendedahan.
Ummi pun tidak mahu ketinggalan. Beliau mendakwa ada 18 video seks membabitkan Anwar.
Ugutan mereka mirip kepada Senator Ezam Mohd Noor dan Datuk S.Nalakaruppan yang juga mendakwa menyimpan pelbagai bukti mengenai salah laku Anwar ketika beliau Timbalan Perdana Menteri.
Apakah semua perkembangan ini hanya secara kebetulan, bahawa individu bernama Ummi Hafilda dan Rahim Thamby Chik tidak mengenali satu sama lain, malah Umno langsung tidak terlibat dalam segala fitnah dan ugutan yang dibawa oleh mereka berdua ?
Bolehkah rakyat menerima bahawa Ummi dan Rahim melakukan serang hendap terhadap Anwar semata- mata sebagaimana yang didakwa mereka – untuk agama, bangsa dan negara dan bukan didorong kebencian untuk Ketua Pembangkang itu ? Dan, atau adakah imbuhan yang menanti jika misi mereka berjaya terlalu lumayan untuk ditolak?
Kebetulan atau sebahagian dari perancangan?
Jika kebetulan, maka adakah satu “kebetulan’ juga Ummi Hafilda dan Tan Sri Rahim Thamby Chik berjumpa dengan Pengerusi Malaysia Airports Berhad Tan Sri Basir Ismail pada tahun 1998 untuk Ummi mendapatkan sebuah kontrak pengiklanan pada awal tahun 1998 ?
Berikut adalah keterangan yang diberikan oleh Ummi Hafilda kepada Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 1998 apabila beliau disoal oleh peguam Anwar ketika itu, Christopher Fernando.
Fernando: Berhubung projek KLIA, adakah kamu ada berjumpa Tan Sri Basir? (Pengerusi MAB).
Ummi Hafilda: Berkenaan kontrak pengiklanan itu, saya ada bertemu dengan Tan Sri Basir di pejabatnya.
Fernando: Pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim Zainuddin dan kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik ?
Ummi Hafilda: Saya tidak bersetuju bahawa pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim.
Fernando: Adakah kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik?
Ummi Hafilda: Saya tidak ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik tetapi saya telah berjumpa dengannya di pejabat Tan Sri Basir.
Fernando: Apa maksud berjumpa Tan Sri Rahim di sana?
Ummi Hafilda: Saya tidak pergi bersamanya, tetapi saya berjumpa dengannya di sana.
Ketika ditanya apakah peranan Rahim dalam pertemuan di KLIA itu, Ummi Hafilda berkata Rahim tidak memainkan apa-apa peranan, selain bercerita hal-hal politik dengan Basir. -Berita Harian
Beranjak ke 10 tahun kemudian: Rahim dan Ummi sekali lagi muncul bersama – ‘secara kebetulan' untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar. Rahim menggunakan fitnah video lucah yang dipertontonkan kepada wartawan sebelum diserah kepada polis.
Manakala Ummi memakai gincu di bibir dan membetulkan tudung yang sentiasa tergelincir dari kepalanya sebelum memaki hamun Anwar dengan ayat- ayat kesat lagi fitnah.
Adakah secara kebetulan ceramah- ceramah Ummi diperhebatkan, menggunakan wang ringgit dan tenaga kerja Umno manakala Rahim dilaporkan berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak setelah Anwar membuat laporan polis mengenai video lucah itu.
Adakah satu “kebetulan” atau disengajakan, Ketua Polis Negara menambah keaiban Anwar dengan mengesahkan video itu adalah tulen tetapi berdiam diri mengenai identiti pelakon dalam rakaman itu.
Nampaknya kilang mereka-cipta fitnah seks terhadap Anwar kini beroperasi mengikut waktu kerja kedai Seven Eleven – tidak tutup malah rancak mengitarkan pembohongan dan rekayasa.
Penampilan “secara kebetulan’ Ummi Hafilda dan Rahim dalam melaksanakan tanggungjawab “mempertahankan maruah orang Melayu” pastinya menimbulkan hanya kecurigaan dan kesangsian berasaskan rekod lampau mereka.
Persoalan yang tentunya timbul adalah kenapa dilakukan semua ini semata-mata untuk menjatuhkan Anwar? Apakah keperluan mengheret kewibawaan Umno, polis, badan kehakiman sekali lagi semata-mata untuk menjerat Anwar ?
Sebagaimana yang disedari oleh Mahathir pada tahun 1998, apabila mendalangi kejatuhan Anwar ketika itu, kepemimpinan Umno sekarang yakin Anwar tidak akan luntur dalam perjuangannya untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional.
Justeru dua pendekatan diambil untuk menghancurkan karisma Anwar dan sekali gus melemahkan cabaran Pakatan Rakyat supaya BN kembali menang selesa pada pilihanraya umum akan datang.
Satu, ialah menghumban kembali Ketua Pembangkang itu ke dalam penjara atas tuduhan liwat – seperti mana yang dilakukan di bawah pemerintahan Mahathir.
Namun, Umno kali ini tidak mahu pemenjaraan Anwar mengangkat martabatnya sebagai seorang “mujahid”, sebagaimana yang berlaku pada pusingan pertama.
Maka, atas kesedaran itu, kilang mereka-cipta fitnah terhadap Anwar memperhebatkan pengeluaran mereka – dalam bentuk maki hamun oleh Ummi Halfilda, Mohamad Ezam dan lain- lain serta video lucah Datuk T.
Segala petanda (seperti pengumuman Ketua Polis Negara mengenai “ketulenan” video lucah) menunjukkan asakan- asakan terhadap Ketua Pembangkang itu akan bertambah kuat pada hari- hari mendatang.
Yang jelas kepemimpinan Umno dan aparatus mereka termasuk akhbar Utusan Malaysia dan media arus perdana yang lain akan terus mengitar dan memberi ruang utama kepada sebarang fitnah melibatkan Anwar. Ini kerana kelangsungan politik Umno bergantung kepada kejayaannya memadamkan nama Anwar Ibrahim dari persada politik tanah air dengan apa cara sekali pun. TVS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan