Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar
Status perkahwinan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim akan
diketahui pada 12 Jun ini selepas jawatankuasa pendamai membuat laporan
berhubung jalan penyelesaian dalam kes perceraian itu.
Hakim Syarie Ab Malek Awang menetapkan tarikh itu bagi membolehkan
jawatankuasa pendamai yang dilantik oleh Nurul Izzah dan Raja Ahmad
Shahrir mengemukakan laporan mereka kepada mahkamah.
Ab Malek menetapkan tarikh itu dalam kamarnya ketika kes itu disebut
hari ini, dihadiri Nor Mawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah dan
peguam Zulkifli Che Yong mewakili Raja Ahmad Shahrir.
Ketika ditemui pemberita, Zulkifli berkata mahkamah juga memerintahkan
Nurul Izzah dan suaminya mengemukakan senarai nama dan calon
jawatankuasa pendamai itu pada 17 April ini.
Dalam proses perceraian, jawatankuasa pendamai terdiri daripada anggota
keluarga yang rapat dengan mereka bertujuan memberi nasihat dan mencari
jalan penyelesaian.Sementara itu, Nurul Izzah ketika dihampiri pihak media enggan mengulas
lanjut kes perceraiannya dan sambil tersenyum, berkata: "Terima kasih
kerana menghormati privasi kami."
Nurul Izzah, 34, anak sulung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, pada awal
Januari.
Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir berkahwin pada 9 Mei 2003 dan
dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak
lelaki berusia empat tahun. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan