Anwar bersama Khalid dan Azmin bercakap pada pemberita di Sikamat Kajang
Walaupun dikritik hebat oleh kumpulan Melayu berhaluan kanan, Datuk
Seri Anwar Ibrahim malam ini mempertahankan kehadirannya ke gereja pada
pertengahan Februari lalu kerana berjaya menjernihkan salah faham yang
berlaku di antara kepercayaan dua agama.
Ketua pembangkang itu berkata, kehadirannya ke gereja bukanlah sesuatu
yang baru tetapi sejak beliau berkecimpung dalam badan bukan kerajaan
(NGO) Angkatan Belia Islam Malaysia lagi.
"Saya orang Islam. Jesus bermaksud Isa. Saya tak kata Isa sahaja, saya
kata Isa alaihissalam (sejahtera ke atasnya). Ada yang bertanya saya
doakan untuk Jesus, saya kata ya, untuk Nabi Isa," katanya dalam kuliah
Maghrib di Surau Al-Muqaddis, Kajang, malam ini.
"Gereja ada saliblah. Bukan saya pergi gereja tetapi dewannya. Masa
saya Abim, saya pergi. Soalnya masa saya pergi, saya kata bahawa Islam
menghormati perbezaan kaum dan warna kulit."
Anwar, semasa berucap di Gereja Holy Family
di Kajang pada bulan lalu, berkata pihak tertentu sedang mengeruhkan
lagi hubungan antara agama dan kaum berikutan beberapa insiden, tetapi
penyebab masalah dilepaskan begitu sahaja sementara yang tidak bersalah
ditangkap seperti penjenayah.
Katanya, Putrajaya membenarkan suara kebencian, keganasan dan kemusnahan menenggelamkan mesej cinta keamanan dan keharmonian.
"Mereka melempar bom ke dalam perkarangan gereja, tidak ada yang
ditangkap. Mereka menawarkan ganjaran kepada orang ramai untuk menampar
orang lain, namun, tiada tindakan diambil oleh pihak polis.
"Dan mereka mengancam satu lagi kejadian 13 Mei dan sekali lagi
orang-orang ini kebal daripada sebarang tindakan undang-undang," katanya
disambut dengan tepukan.
Anwar berkata semasa lawatannya ke gereja ada yang seakan tidak percaya
umat Islam mendoakan kesejahteraan selepas menyebut nama Nabi Isa yang
sekaligus dapat menjinakkan hati mereka.
"Kita dilatih. Mereka bertanya banyak kali. Mereka hairan. Ini menjinakkan mereka bahawa kita hormat mereka," katanya.
Calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu turut menyifatkan
media arus perdana memberi laporan yang salah berhubung kehadirannya ke
gereja pada Februari lalu.
"Itu yang berlaku tapi apa yang dicerita Anwar dah mula jinak dengan
gereja. Ini masalah tapi kita kena sabar," katanya di hadapan kira-kira
40 jemaah surau yang hadir.
Anwar semasa berucap pada perhimpunan di gereja yang dihadiri kira-kira
1,200 orang memetik surah dari Al-Quran, berkata Islam bukan sahaja
memerlukan toleransi sebagai standard minimum tetapi lebih daripada itu.
"Ungkapan Al-Qur'an 'li ta'arafu' memerlukan standard lebih tinggi yang
bermaksud mendekati dan mengenali antara satu sama lain.
"Justeru, ia bukan sahaja berkenaan tolak ansur terhadap perbezaan
antara satu sama lain tetapi pemahaman dan penghayatan terhadap
masyarakat lain," katanya.
Anwar tidak setakat memetik ayat daripada Al-Quran malah turut memetik
kata-kata daripada Bible dengan membacakan bab 14 daripada Kitab Roman:
“You, then, why do you judge your brother or sister? Or why do you treat
them with contempt? For we will all stand before God’s judgment seat."
"As surely as I live, says the Lord, every knee will bow before me; every tongue will acknowledge God," Anwar membacakannya.
Beliau menambah dengan semua mesej yang disampaikan itu, orang ramai
sepatutnya berhenti daripada membuat penghakiman ke atas satu sama lain.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan