Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (gambar) hari ini berkata
isu sama ada presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dibenarkan memasuki
Sarawak baru-baru ini sudah tidak lagi relevan.
"Tapi, beliau (Ibrahim) akan tahu apa yang akan berlaku pada lain kali
sekiranya dia datang ke Sarawak," kata Adenan dalam sidang akhbar di
pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.
Adenan, dalam kenyataan yang disiarkan baru-baru ini, berkata kerajaan
tidak akan teragak-agak menghalang petaksub agama, rasis dan pembuat
kacau daripada memasuki Sarawak, manakala mereka yang sudah berada di
negeri ini akan dihantar pulang sekiranya mereka mencetuskan ketegangan
kaum dan agama.
Beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri membenarkan Ketua Umum
PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Sarawak kerana terdapat tekanan
antarabangsa."Kami membenarkan beliau masuk kerana kami tidak takut kepadanya," kata Adenan.Katanya kerajaan negeri mempunyai senarai nama mereka yang dihalang daripada memasuki Sarawak.
Jabatan Imigresen negeri menafikan laporan bahawa Ibrahim memasuki
Sarawak baru-baru ini, walaupun terdapat dakwaan beliau berada di negeri
ini dan dilaporkan merasmikan satu acara anjuran Perkasa Sarawak serta
melakukan lawatan kerja ke Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di
Satok, Petra Jaya.
Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Lintang See Chee How mempersoalkan
kesungguhan politik dan komitmen Barisan Nasional (BN) negeri untuk
tidak membenarkan rasis dan petaksub agama memasuki Sarawak.
See, yang juga naib pengerusi PKR Sarawak, berkata sekiranya kerajaan
negeri benar-benar menghayati kata-kata Adenan untuk memulihara
keharmonian kaum dan agama serta kestabilan politik di Sarawak, Ibrahim
tidak sepatutnya dibenar langsung memasuki negeri ini.
Aktivis hak asasi manusia Peter John Jaban juga bertanya kenapa Ibrahim
dibenarkan memasuki negeri ini, walaupun beliau pernah mengeluarkan
kenyataan yang sensitif dan bersikap rasis di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata pada hari ketua menteri mengeluarkan kenyataan untuk
membebaskan Sarawak daripada petaksub agama dan rasis, Ibrahim secara
terang-terangan mempamerkan dirinya di sekitar Kuching dan Samarahan. –
Bernama
1 ulasan:
Sama saja penganti KM yang lama double standard talam dua muka , beranikah dia hendak berterus terang hanya berselindung disebalik BN , UMNO pula mana berani bersuara nanti hilang mejority di Dewan, itulah jadi begitni.
Catat Ulasan