Siasatan awal polis mendapati enam pengunjung konsert mati dalam tempoh 10 minit selepas mengambil dadah “ecstacy” jenis baru.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dadah jenis baru itu didapati baru berada dalam pasaran negara ini dan kemungkinan sedang diuji sindiket dadah.
Katanya siasatan polis juga mendapati mereka berkongsi dadah itu yang dijual kepada pengunjung konsert Festival Future Music Asia 2014 (FMFA) di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan harga tertentu.
"Hasil siasatan dan saringan awal daripada ujian hospital, kesemua mereka positif dadah jenis methampetamine dan ampetamine,” katanya hari ini.
Awal pagi Sabtu lepas, enam orang termasuk tiga wanita, meninggal dunia
akibat pengambilan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton
konsert berkenaan manakala 15 individu lagi dirawat di hospital.
Ekoran insiden itu, konsert itu yang sepatutnya berlangsung tiga hari dibatalkan pada hari terakhir semalam.
Mereka dirawat di Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala seorang dibenarkan keluar dari PPUM semalam.
Noor Rashid berkata sebelum insiden itu, polis telah menahan 40 orang
iaitu sembilan orang, masing-masing memiliki ecstacy dan ganja manakala
22 orang disyaki mengambil dadah yang jenisnya belum dikenal pasti.
"Mereka yang ditahan kerana memiliki 'ecstacy' iaitu empat warga asing
dan lima warga tempatan, memiliki ganja dua warga asing dan tujuh warga
tempatan manakala 22 orang lagi iaitu enam warga tempatan dan 16 warga
asing antaranya dari Zimbabwe, Australia, Indonesia dan India," katanya.
Beliau berkata berdasarkan kajian oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah mendapati dadah baru terhasil setiap dua minggu. – Bernama
1 ulasan:
konsert di rasmikan oleh nazri aziz .... yang mati itu pun dirasmikan oleh dia juga ..... bila tanya tentu dia jawab: aku peduli apa ....!!!
Catat Ulasan