Selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) disaman RM2
juta oleh bekas calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi,
Mohd Shamsul Mat Amin, PKR hari ini memberi jaminan kes saman tersebut
akan dapat diselesaikan dengan baik.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Shamsul berdegil
meneruskan saman terhadap Hadi walaupun beliau dinasihati untuk tidak
berbuat demikian.
"Pimpinan PKR mengambil pendirian sebelum ini bahawa kes saman berkenaan tidak perlu diteruskan.
"Namun Shamsul bertegas beliau perlu membersihkan nama dan maruahnya
akibat dakwaan yang dibuat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),"
katanya dalam satu kenyataan hari ini di Kuala Lumpur.
Abdul Hadi diarahkan membayar saman RM2,000,000 oleh Mahkamah Tinggi
Kuala Terengganu dalam penghakiman ingkar yang diperoleh Shamsul.
Selain itu, Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5% faedah daripada writ
difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Ini berikutan kegagalan Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.
Bagaimanapun, Peguam PAS, Asmuni Awi ketika dihubungi The Malaysian
Insider berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan
perintah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Abdul Hadi disaman Shamsul ekoran dakwaannya bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang PRU13 lalu.
Ekoran dakwaan itu, PAS meletakkan calonnya di tiga kerusi DUN di Terengganu yang sepatutnya ditandingi PKR.
Ia menyebabkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, PAS dan PKR
ditiga DUN di Terengganu termasuk Bukit Besi yang ditandingi Shamsul.
Sebelum ini, menjelang pilihan raya kecil Kuala Besut, Shamsul meminta
Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf berikutan kenyataannya
menjelang pilihan raya umum itu kerana orang ramai menganggap beliau
yang didakwa Abdul Hadi itu.
“Saya minta (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang dedahkan siapa yang dia
fitnah sebagai pengedar pil kuda dan sokong komunis ketika berceramah di
Tebakang, Alor Limbat, ketika kempen PRU lalu,” kata Shamsul dalam
sidang media itu.
Ekoran kegagalan Abdul Hadi berbuat demikian, beliau memfailkan saman itu.Pimpinan PKR berkata Fahmi bagaimanapun akan mengambil langkah perlu
untuk membolehkan kes ini dapat diselesaikan dengan baik dan penuh
hikmah, demi kebaikan serta kesepakatan Pakatan Rakyat.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan