Tian Chua( gambar atas ) dan Tamrin Ghafar( gambar kiri) di Balai Polis Jinjang
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Chua Tian Chang
dan Tamrin Ghafar, serta aktivis politik Haris Ibrahim, ditahan di bawah
Akta Hasutan semalaman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Balai Jinjang
hari ini.
Ketiga-tiga mereka yang ditahan sekitar tengahari tadi dimasukkan ke lokap berkenaan sekitar jam 5 petang tadi.
Ketika sidang media, peguam mewakili Haris, Gobin Singh Deo berkata,
pihaknya bagaimanapun tidak dimaklumkan “kenyataan menghasut” bagaimana
yang telah dikeluarkan kesemua pemimpin pembangkang berkenaan sehingga
menyebabkan mereka ditahan.
“Mereka telah ditahan dan akan di bawa ke lokap untuk permohonan
reman ... kita baru dimaklumkan ketiga-tiga mereka akan ditahan, untuk
siasatan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan dan seksyen
124 Kanun Keseksaan.
“Polis akan bawa mereka esok jam 11 pagi untuk permohonan reman,
kemudian terpulang kepada majistret sama ada untuk teruskan reman atau
sebaliknya,” katanya.
Individu pertama yang ditahan dan didakwa di bawah akta berkenaan
adalah aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim di kompleks mahkamah
Jalan Duta pagi tadi.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua telah ditahan di LCCT pada pukul 12.30 tadi semasa menunggu pesawat untuk ke Kuala Terengganu.
Sementara Haris, aktivis pergerakan Asal Bukan Umno (ABU) ditahan
pada waktu sama semasa sedang makan tengahari di Segambut sejurus
memberikan sokongan kepada Adam Adli di mahkamah.
Anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin
yang merupakan bekas ahli Parlimen Batu Berendam turut ditahan ketika
sedang makan di Bangsar.Tian Chua diwakili peguam, New Sin Yew manakala Tamrin diwakili Dr Dzulqarnain Lukman.
Turut hadir di balai polis Jinjang adalah Pengerusi Bersama Bersih
Datuk Ambiga Sreenevasan dan ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah
Anwar untuk memberikan sokongan kepada ketiga-tiga mereka.
Pihak polis turut dilihat telah mengepung kawasan sekitar balai polis
berkenaan tepat jam 6 petang tadi dan melarang mana-mana pihak daripada
melakukan demonstrasi pembebasan ketiga-tiga mereka dengan meletakkan
kon dan tali penghadang polis.
Adam Adli telah didakwa di bawah seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948
(Akta 15), yang mana sekiranya didapati bersalah, pelajar Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) boleh dikenakan tindakan denda tidak
lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.
Beliau walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan diikat jamin sebanyak RM5,000.
Hakim Norsyaridah Awang membebas dan melepaskan Adam yang hadir
berbaju T hitam diwakili peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, N. Surendran,
Afiq M. Noor, dan Shamsul Iskandar Mat Akin.
Hakim ketika pendakwaannya berkata ucapan Adam yang dibuat pada 13
Mei di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai
kecenderungan bagi membangkitkan rakyat Malaysia supaya cuba menukar
kerajaan pemerintah dengan cara yang tidak sah.Adam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
“Ini akta hasutan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah kata
akan hapuskan, tetapi beliau masih gunakan akta ini untuk mendakwa
Adam.
Hakim bagaimanapun berpendapat cadangan pemansuhan akta berkenaan
masih sedang dikaji diperingkat cadangan dan bersifat pramatang,
menjadikan akta berkenaan masih boleh digunakan.
Antara kenyataan Adam yang terkandung dalam kertas pertuduhan yang
dibacakan hari ini adalah :”Ambil butiran saya, buat laporan polis,
kerana hari ini, saya nak ajak semua yang ada di sini, kita harus susun
dan kita akan turun ke jalan raya untuk rampas kembali kuasa kita! Boleh
atau tidak?!
Boleh atau tidak?! Boleh atau tidak?! Kita tak banyak masa
lagi, semua siap sedia, beli kasut, beli tracksuit, beli seluar jeans,
sedia kita akan turun ke jalan raya sebab akhirnya dalam dunia ketiga
macan negara Malaysia, pilihan raya takkan tumbangkan kerajaan kita.
“Yang boleh tumbangkan kerajaan hanyalah kuasa rakyat. Sedara, ingat, ini sahaja peluang yang kita ada ...”
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kedua-duanya yang baru dilantik
selepas Pilihan Raya 2013 telah memberi amaran dan berikrar akan
mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang menyeru agar rakyat
berhimpun di jalan raya bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan