SHAH ALAM: Pengakuan bapa Saiful Bukhari bahawa
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah atas tuduhan
liwat dan menjadi mangsa fitnah merupakan suatu tindakan yang wajib
dilakukan beliau.
Ini kerana seseorang Islam hendaklah insaf dengan tidak meneruskan
kebatilan untuk kembali kepada kebenaran apabila menyedari kesilapan
mereka.
Demikian menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dalam sidang media di Masjid Shah Alam di sini.
“Dia (Azlan Mohd Lazim) melaksanakan kewajipannya sebagai seorang Islam.
“Merujuk kepada kebenaran adalah lebih baik dari meneruskan
kebatilan,” kata beliau selepas bertindak sebagai panelis dalam forum
bertajuk ‘Mengangkat Martabat Ummah: Tanggung Jawab Siapa?’ malam tadi.
Semalam, bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim memohon maaf kepada Anwar
dengan mendakwa bahawa anaknya dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana
menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.
Pada 9 Januari tahun lalu, Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya
pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Sementara itu, ketika mengulas isu sumpah laknat oleh Saiful, sambil
merujuk kepada sebuah kejadian di zaman Nabi Muhammad SAW, Dr Haron
berkata sumpah laknat hanya wajar dilakukan apabila berhadapan kes yang
tidak boleh diselesaikan di mahkamah.
“Kaum Nasrani dakwa Allah ada anak dan oleh kerana ianya tidak dapat
dibuktikan, Nabi Muhammad mengarahkan mereka bersumpah laknat untuk
selesaikan perbalahan itu.
“Mengapa kita pula hendak mengundang laknat Allah sedangkan kes ini boleh diselesaikan di mahkamah,” ujar Dr Haron.
Dalam perkembangan isu calon Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat, Dr
Haron menegaskan PAS ketika ini lebih fokus kepada agenda menumbangkan
Kerajaan Umno-BN dan hanya mengumumkan calon Perdana Menteri apabila
misi tersebut berjaya.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan