KUALA LUMPUR 4 Jan: Cemas sejuta rakyat membanjiri Himpunan
Kebangkitan Rakyat 12 Januari (HKR 112) punca pihak tertentu melemparkan
sisa sembelihan ayam di Dewan Dato’ Fauzi, Sekinchan Selangor pagi
tadi.
“Ini pasti kerja orang yang takut menjelangnya hari kebangkitan
rakyat. Sedikitpun kita tak lemah,” kata Anggota Jawatankuasa HKR 112,
Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard sambil menyifatkan ia tindakan
panik pihak terdesak.
Ketua
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu berkata, pihaknya
mengesan kejadian itu pagi tadi semasa membuat pemeriksaan ke dewan
tersebut untuk persiapan Ceramah Mobilisasi HKR yang akan diadakan di
sana malam ini.
Menjelang HKR di Stadium Merdeka, SAMM menganjurkan Jelajah Anak Muda
Menuju #KL112- 1 juta rakyat di seluruh negara, bermula 26 Disember
lalu.
“Program ‘countdown’ menuju hari bersejarah 12 Januari akan tetap berlangsung malam nanti,” tegasnya.
Pada malam ini, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar akan
melancarkan van bergerak yang disediakan SAMM untuk memperhebatkan
mobilisasi menjelang himpunan itu.
“Van itu akan bergerak tanpa henti ke segenap Lembah Klang sebagai kempen kita untuk menjayakan HKR,” kata Chegu Bard.
Pada himpunan yang akan berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang itu,
satu deklarasi rakyat yang dinamakan sebagai ‘Deklarasi 12 Jan’ akan
dibentangkan.
Rakyat diberi pilihan memakai baju kuning sempena tuntutan pilihan
raya adil dan bersih, merah sebagai tanda ‘Royalti’, hijau pula untuk
‘Lynas’ dan oren sebagai membantah penyenaraian FGVH.
Pengarah HKR, Mohamad Sabu turut memaklumkan, himpunan serupa akan
diadakan rakyat Malaysia di luar negara seperti himpunan Bersih lalu.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan