KUALA LUMPUR: PAS menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terus membohongi rakyat dengan slogan kosong.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata,
kenyataan Najib yang menyebut 'masa depan negara hanya terjamin di bawah
BN' adalah satu rayuan undi penuh pembohongan luar daripada batas-batas
politik sihat.
“Rakyat semakin bijak menonton kerosakan negara di tangan BN selama 55 tahun memerintah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, kedudukan ekonomi rakyat yang merudum dengan hilangnya
aset-aset berharga negara semuanya berlaku semasa pemerintahan BN.
Beliau menambah, Bank Bumiputera yang diwujudkan untuk membantu rakyat hilang terus di bawah pemerintahan BN.
Kini, kata beliau pemimpin negara semakin rakus memfaraidkan harta
peneroka Felda dengan penyenaraian di bursa saham yang penuh dengan
kontroversi.
Begitu juga, ujarnya dengan kedudukan agama dan bahasa yang semakin lemah. Semuanya berlaku dibawah pemerintahan BN.
“Soalnya mengapa begitu sekali takut Perdana Menteri akan kejatuhan
BN. Kita memahami amalan demokrasi membenarkan naik dan jatuhnya
sesebuah parti,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.
Menurutnya, jika jatuh sekalipun dalam pilihan raya terdekat, BN masih berpeluang untuk menyertai pilihan raya akan datang.
Tetapi, ujar beliau pelik apabila mereka begitu bimbang dengan kekalahan.
Justeru, kata beliau PAS ingin mengingatkan BN khususnya Najib supaya
menghentikan tabiat buruk berbohong kepada rakyat kononnya hanya BN
boleh menjamin masa depan negara.
“Kita juga ingin mengingatkan Najib supaya sedia untuk kalah secara
terhormat kerana peluang masih terbuka di masa depan, bukannya jatuh
dalam keadaan hina sebagaimana yang berlaku di negara-negara Timur
Tengah,” katanya lagi.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan