KUALA LUMPUR, 18 Okt — Atas kedegilan Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Kong Cho Ha untuk menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan
Automatik (AES), Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini telah
memfailkan usul untuk memotong gaji menteri berkenaan sebanyak RM10.
Jelas Mahfuz (gambar),
usul itu adalah ekoran kedegilan kementerian dan kerajaan untuk
berbincang bagi mencari mekanisme lain selain penggunaan AES, kerana
menurutnya kelajuan bukan punca utama kemalangan maut.
“Kelajuan bukan faktor utama kemalangan maut ... kedegilan menteri untuk menangguhkan penggunaan AES amat mengecewakan.
“Sehubungan itu saya telah memfailkan usul memotong gaji menteri
pengangkutan sebanyak RM10 atas kedegilan beliau,” kata Ahli Parlimen
Pokok Sena itu ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Malah, jelasnya, beliau juga akan mengemukakan beberapa bukti bahawa
kelajuan bukanlah faktor utama kemalangan maut, sebaliknya sikap manusia
itu sendiri.
“Alasan kerajaan gunakan AES adalah kerana mahu mengurangkan kadar
kemalangan maut ... tapi bukan kelajuan yang menjadi punca kemalangan,”
tambahnya.
Bagaimanapun, Mahfuz menjelaskan, beliau sendiri tidak menggalakkan
pengguna jalan raya memandu secara laju, tetapi isu yang dibangkitkan
beliau adalah pelasnaan dan penguatkuasaan AES itu yang seharusnya
diberi penelitian mendalam oleh kerajaan.
Kong semalam berkata pengguna jalan raya boleh menghalang konsesi AES
daripada mengaut keuntungan dengan tidak memandu laju dan melanggar
lampu merah.
Setakat ini Kong menjelaskan, kementerian telah memasang 14 kamera berkenaan di lokasi hitam seluruh negara.
“Kawasan hitam yang dikenal pasti pihak polis telah dipasang kamera
ini, bagaimanapun, sistem ini bukanlah untuk mengkayakan syarikat
konsesi.
“Bila kami pasang kamera, kami akan maklumkan kepada semua media -
Bahasa Malaysia, Cina, English, dan Tamil. Kami tidak menyembunyikan
lokasi kamera,” katanya semalam.
Beliau turut menjelaskan, pemasangan AES adalah kerana atas dasar
tanggungjawab kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya
akibat kelajuan dan pelanggaran lampu isyarat.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan