SHAH ALAM 3 Oktober: Pakatan Rakyat (Pakatan) komited menubuhkan
syarikat minyak masing-masing di negeri pengeluar minyak dan gas supaya
dapat terlibat secara langsung dan mengelakkan hasil minyak dibolot
kroni Umno BN , kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga menjamin jika Pakatan berjaya membentuk kerajaan, 20
peratus royalti minyak akan diberi kepada empat negeri penyumbang minyak
negara iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Saya
dan Pakatan Rakyat menyokong penuh usaha rakyat Kelantan menuntut
royalti dan memuji semangat NGO yang gigih menggerakkan usaha itu,” kata
Ketua Umum KEADILAN itu.
“Berbeza dengan kerajaan sekarang, yang hanya bagi lima peratus, yang
lain mereka sapu. Baru-baru ini Datuk Seri Najib umumkan lagi insentif
kepada syarikat besar, tapi insentif ini dapat pada siapa? Kepada
anak-anak pemimpin-pemimpin Umno, kontraknya berpuluh bilion ringgit,”
katanya.
“Sebab itu jika kita ambil alih Putrajaya, kerajaan-kerajaan negeri
akan menubuhkan syarikat minyak dan gas mereka sendiri supaya mereka
turut terlibat dan kerajaan akan menjadi sebahagian daripada projek
itu,” kata Anwar menyatakan sokongan terhadap konvoi tuntutan royalti
Kelantan yang diadakan pagi ini.
Beliau
berucap di hadapan kira-kira 7,000 penyokong pada Ceramah Mega sempena
Konvoi Royalti ke Putrajaya di Dataran Shah Alam malam tadi.
Dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan Anwar Rabu lalu, Pakatan
berhasrat menubuhkan syarikat minyak negeri yang dikenali sebagai
PetroSabah, PetroSarawak dan Petro Terengganu supaya dapat memulangkan
hasil kepada rakyat masing-masing.
Mereka juga akan menyertai pembangunan lapangan kecil yang selama ini dibolot syarikat kroni Umno BN.
Syarikat itu akan dinaungi Petronas yang menyediakan skim khas supaya
mampu bersaing di peringkat anatarabangsa dalam tempoh 10 tahun.Cadangan berkenaan sekaligus mengelakkan kerajaan Pusat membolot semua hasil minyak negeri.
Exco Kelantan, Datuk Husam Musa pula mengingatkan Perdana Menteri
agar membuat keputusan berhubung pemberian royalti minyak kepada
Kelantan.
“Jika royalti masih tidak diberikan, bukan sahaja Kelantan, malah
Terengganu, Sabah dan Sarawak akan menuntut untuk batalkan perjanjian
Akta Pembangunan dan Petroleum 1975,” tegasnya.
“Najib fikirlah secara rasional dan bijak, kalau tidak keempat-empat
negeri ini akan terburai, Petronas akan terkubur,” kata Husam lagi.
Bermula semalam, sebanyak 600 kereta berkonvoi ke Dataran Kemerdekaan
Shah Alam, dan akan ke Putrajaya 8 pagi tadi untuk ke Istana Kehakiman
bagi menuntut hak royalti minyak.
Ceramah mega itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Bekas
Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin; Ahli Dewan Undangan
Negeri Ba’Kelalan, Baru Bian serta wakil NGO dari Sabah, Gerakan
Nasionalis Sabah.KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan