KUALA LUMPUR 9 Ogos: Malaysia akan jadi bahan lawak antarabangsa jika
keluarga mendiang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dihalang
memasuki negara ini, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.
“Jika
ia dilakukan, bermakna Malaysia kena bersedia untuk dijadikan bahan
lawak antarabangsa. Harap-harap perkara ini tak berlaku,” kata Gwo
Burne, merujuk khabar angin mengatakan bapa Altantuya, Setev Shaaribuu
dan seluruh keluarganya akan dihalang dari memasuki Malaysia.
Keluarga Altantuya dijadual tiba ke Malaysia untuk mengikuti
pendengaran semula rayuan dua bekas pegawai khas Najib Razak yang
dijatuhi hukuman mati akibat membunuh Altantuya, iaitu Azilah Hadri dan
Sirul Azhar Umar pada 27 dan 28 Ogos ini.
“Itu hak keluarga mereka. Sebagai kerajaan yang terbuka, Malaysia
mesti membenarkan mereka mengikuti perbicaraan,” tegas Gwo Burne ketika
dihubungi.
Menurut Gwo Burne, beliau difahamkan oleh Pejabat Konsul Mongolia di
Malaysia, pemakluman secara rasmi kehadiran Kementerian Hal Ehwal Luar
Negeri & Perdagangan dan Kementerian Keadilan Mongolia belum lagi
dibuat.
“Tidak ada lagi maklumat tentang kehadiran dua Kementerian Mongolia
itu ke Malaysia,” kata Gwo Burne yang sebelum ini mendesak Kementerian
Luar Malaysia, menyantuni ketibaan delegasi pemerhati negara itu secara
rasmi.
“Pegawai kerajaan Mongolia yang guna laluan diplomatik tidak perlu
permohonan visa berbanding bapa Altantuya dan keluarganya. Mereka perlu
memohon visa. Visa dikeluarkan pejabat konsul atau kedutaan mengambil
masa lebih seminggu.
“Kita berharap permohonan visa Setev dan keluarga mereka selesai segera,” kata Gwo Burne.Altantuya dibunuh secara kejam apabila mayatnya diletupkan
menggunakan bom C4 di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam antara malam
18 Oktober dan 19 Oktober 2006.
Beliau adalah penterjemah kepada Abdul Razak Baginda dalam pembelian
Scorpene dan turut dikait mempunyai hubungan dengan Razak dan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dua anggota Unit Tindakan Khas dan pengiring kepada Najib, Inspektor
Azilah Hadri, 34, dan Koperal Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati
oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009, setelah didapati
bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18
Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya.
Hakim dalam kes perbicaraan itu tidak memutuskan motif pembunuhan.Keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan