SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membuat keputusan menolak saman yang dibuat oleh Umno Selangor berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.
Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan tersebut setelah meneliti peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.
Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno
adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan dan hanya beliau yang berhak membuat pendakwaan.
Hakim juga turut memutuskan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.
Plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar tersebut Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.
Mustafa yang ditemui di lobi mahkamah menyatakan kes saman telah selesai dan ia berlangsung dalam masa yang singkat.
"Terima kasih kepada barisan peguam yang mengendalikan kes ini dan apa yang kita ketahui tadi ia telah selesai dengan baik.
"Hakim telah menolak permohonan dari Umno terhadap tindakan saman itu, syukur segalanya telah selesai," jelasnya.
Peguam yang mewakil defendan adalah Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr Dzulkarnain Lukman manakala plantif pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Dalam saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun.
Saman tersebut dibuat berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan