PETALING JAYA 15 Ogos: Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Malaysia
campur tangan membela nasib 800,000 etnik penduduk Rohingya di Arakan,
Myanmar yang kini diancam pembunuhan beramai-ramai.
Naib
Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, sebagai negara pencadang
kemasukan Myanmar ke dalam Asean, Malaysia sepatutnya tidak berdiam diri
berhubung isu ini.
“Malaysia main peranan sejak 1997 dengan mencadangkan kemasukan
Myanmar ke dalam Asean. (Kita) menuntut Asean mendesak Myanmar
menghentikan pembunuhan ini serta-merta,” katanya pada sidang media di
Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Beliau mewakili PAS dan DAP mendesak Myanmar membenarkan masyarakat
antarabangsa masuk ke wilayah bergolak itu untuk memberi bantuan.
Katanya, masyarakat antarabangsa wajar merujuk sejarah pembunuhan etnik seperti di Bosnia dan Rwanda sebagai pengajaran.
“China yang punya hubungan 40 tahun dengan Malaysia dan Amerika baru
sahaja menarik sekatan ekonomi terhadap Myanmar. Atas dasar reformasi
politik, kita mesti secara aktif mendesak Myanmar melindungi minoriti
dan menghentikan pembunuhan.
“Bangladesh, yang bersempadan dengan Myanmar mesti turut memberi
tekanan dan membuka sempadan untuk membenarkan mangsa mendapat
perlindungan,” kata Izzah.
Beliau turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang
kini menghadiri sidang OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) memanggil
Pakistan, Maghribi, Azerbaijan dan Togo yang mana merupakan ahli, agar
mengeluar kenyataan bersama di bawah Perkara 35 Majlis Keselamatan PBB
untuk campur tangan.
“Majlis Fatwa Kebangsaan turut dicadang mengeluarkan fatwa bahawa
mana-mana negara yang gagal membela hak minoriti dan menyemarak
perkauman adalah haram disokong,” kata Izzah.
“Malaysia mesti bertindak cepat, bukan hanya beretorik dengan slogan –
‘Malaysia, negara demokrasi terbaik, atau negara Islam contoh’.
Sekarang masanya menunjukkan kepimpinan bermoral,” katanya.Keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan