KUALA LUMPUR, 13 April — Komik transformasi yang memuji kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mula diedarkan di kalangan guru-guru sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dikatakan diagihkan jabatan pendidikan negeri.
Komik berwarna setebal 50 muka surat itu menampilkan karikatur seperti pemimpin politik utama dari gabungan pemerintah yang digambarkan dari sudut terbaik.
Sebaliknya, pemimpin pembangkang digambarkan bersikap negatif dan jahat, seperti pada muka surat 31, yang menunjukkan seorang lelaki bercermin mata bersama dua lelaki separuh bogel yang dilihat dikaitkan dengan pesaing Najib, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penasihat PPKR itu dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi awal bulan ini setelah mengambil masa hampir tiga tahun untuk perbicaraan.
“Kementerian Pelajaran boleh mengadakan mesyuarat dengan kami bila-bila masa. Kali ini, kami diberi taklimat tentang pencapaian kerajaan sejak beberapa tahun lalu,” kata seorang guru kepada The Malaysian Insider.
Guru itu yang meletakkan syarat agar namanya dirahsiakan berkata telah menghadiri satu taklimat bertajuk “Wacana Transformasi Minda” anjuran jabatan pendidikan negeri yang disertai pengetua sekolah dan guru penolong kanan.
“Kami telah diberitahu bahawa kerajaan merupakan kerajaan yang baik tetapi tiada arahan untuk mengundi sesiapa.“Tetapi setiap daripada kami mendapat buku, yang menyokong diri sendiri,” tambah guru itu.
Mandat pemerintahan BN akan berakhir suku pertama tahun depan dan spekulasi mengatakan pilihan raya umum akan diadakan awal, mungkin beberapa bulan akan datang.
Guru merupakan populasi terbesar bagi tenaga kerja awam, antara sasaran terpenting untuk menyokong BN.
Bukan semua sekolah menerima komik itu. Beberapa guru yang dihubungi The Malaysian Insider tidak mengetahu tentang perkara itu.
Kementerian Pelajaran masih belum memberikan sebarang respons tentang perkara itu.
Buku komik itu dikatakan diterbitkan Mj Publication Sdn Bhd, yang beralamat di No 12/9, Jalan Jati 2, Persiaran Barat, 68000 Ampang, Selangor.
Bagaimanapun carian dalam direktori perniagaan gagal mencari alamat itu. Pemeriksaan di Google Maps juga menunjukkan alamat itu tidak wujud, sekaligus menimbulkan keraguan penerbit itu.
Komik itu juga tidak memaparkan permit pencetak, yang merupakan satu syarat yang dikehendaki Kementerian Dalam Negeri.
The Malaysian Insider berjaya mendapatkan satu salinan komik itu yang menggambarkan karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memegang bendera kebangsaan dn satu kumpulan yang mewakili pelbagai etnik Malaysia dengan perkataan, “Saya tidak akan memecahkan kepercayaan anda” di muka hadapan komik itu.
Pelbagai jenis gambar-gambar yang memuji kepimpinan dan dasar-dasar BN, seperti bagaimana pentadbiran Najib membantu menyediakan insentif-insentif kepada belia di bawah konsep 1Malaysia.
Pada halaman 38 juga menggambarkan Najib digambarkan seperti wira terkemuka dan terbang di atas orang ramai yang memanggilnya “Hi!Superman”.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan