KUALA LUMPUR 30 Jan: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar
dari Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, kerana tidak berpuas hati
dengan keputusan hakim memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain
mendengar permohonan mengetepikan kes qazaf.
Peguam, Kamar Ainiah Kamaruzzaman berkata, pihaknya enggan
bersekongkol dengan keputusan hakim Datuk Zohdi Toha yang disifatkan
tidak relevan.
Menurutnya, beliau tidak dapat menerima keputusan itu kerana
berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu
dan memutuskan sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri untuk
mengetepi rayuan tersebut.
Beliau bersama-sama tiga lagi peguam, bertindak keluar dari mahkamah selepas tiga hakim mahkamah rayuan memutuskan perkara itu.“Kami tidak boleh sertai (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.
“Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan
susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman,” kata Kamar Ainiah kepada
pemberita di luar mahkamah.
Anwar Ibrahim pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan
terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur ekoran mahkamah
membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya
Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.
Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah
Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan
Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap
jabatan itu.
Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili oleh Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok.Manakala pemohon diwakili oleh tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.Turut hadir Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,
Pengarah Strategi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad dan puluhan penyokong
KEADILAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan